BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak terma gencatan senjata yang dicadangkan oleh Hamas sebaliknya dengan angkuh menegaskan akan mencapai kemenangan di Gaza dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Hamas mencadangkan gencatan senjata selama empat setengah bulan, di mana semua tebusan akan dibebaskan, Israel akan mengundurkan tenteranya dari Gaza dan persetujuan dicapai untuk menamatkan perang.
Tawaran Hamas itu merupakan tindak balas kepada cadangan awal dirangka ketua perisik AS dan Israel yang dihantar kepada kumpulan pejuang itu minggu lalu oleh pengantara Qatar dan Mesir.
Netanyahu mendakwa tuntutan itu hanya ‘khayalan’ dan memperbaharui ikrarnya untuk memusnahkan gerakan Hamas.
Beliau malah mengatakan tidak ada alternatif lain untuk Israel selain memusnahkan kumpulan pejuang itu.
“Tekanan tentera yang berterusan adalah syarat yang diperlukan untuk membebaskan tebusan.
“Tiada penyelesaian lain selain kemenangan yang total dan muktamad terhadap Hamas,” katanya.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken yakin masih ada ruang untuk rundingan ke arah pelaksanaan perjanjian tersebut.
“Terdapat perkara yang tidak dijangka dari Hamas.
“Tetapi kami juga melihat ruang untuk meneruskan rundingan, untuk melihat sama ada kami boleh mencapai persetujuan. Itulah yang kami ingin lakukan,” katanya
Blinken bertemu pemimpin Qatar dan Mesir Selasa lalu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ramallah kelmarin.
Pegawai Kanan Hamas, Sami Abu Zuhri menyifatkan kenyataan Netanyahu sebagai ‘keberanian politik’ yang menunjukkan niat sebenar pemimpin Israel itu untuk meneruskan konflik di rantau berkenaan.
Seorang lagi pegawai Hamas, Osama Hamdan berkata, delegasi kumpulan itu yang diketuai oleh pegawai kanan Hamas, Khalil Al-Hayya akan berada di Kaherah untuk meneruskan rundingan gencatan senjata dengan pengantara Mesir dan Qatar.
Sumber yang rapat dengan rundingan itu berkata, Hamas mungkin akan mengambil pendekatan baharu tiga fasa berbanding permintaan sebelum ini untuk menamatkan perang, mencadangkannya sebagai isu yang perlu diselesaikan dalam rundingan masa depan dan bukannya syarat untuk gencatan senjata.-REUTERS
CAPTION
BENJAMIN NETANYAHU











