Ibu ikat perut, hilang punca pendapatan jaga anak koma

Ibu ikat perut, hilang punca pendapatan jaga anak koma

ROSMANIDAR Rusli memberikan Zulkiflee Anwar susu melalui saluran tiup di rumahnya di Batu 1 di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang ibu yang menyewa rumah di Batu 1, di sini hilang punca pendapatan selepas anak lelakinya yang merupakan harapan keluarga koma ekoran kemalangan jalan raya pada 17 Februari 2020.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rosmanidar Rusli, 52, berkata, keluarga itu bergantung harap kepada anaknya, Zulkiflee Anwar, 24, bagi menyara keluarga setelah bapanya, Anwar Mohamad, 62, tidak boleh bekerja kerana menghidap paru-paru berair. 

Namun katanya, malang menimpa keluarga itu setelah Zulkiflee terlibat kemalangan jalan raya menyebabkan anak ketiga daripada lima beradik itu kini bagaikan seorang bayi yang perlu dijaga makan pakai setiap hari.

“Zulkiflee ditimpa kemalangan ketika menunggang motosikal di Kampung Sungai Ling, Maran. Waktu itu dia dalam perjalanan pulang ke Temerloh. Dia yang bekerja di Senawang, Negeri Sembilan pulang bercuti untuk bertemu kawan-kawannya di Kuantan.

“Dia terlanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membelok ke simpang jalan. Zulkiflee mengalami kecederaan serius, cedera parah di kepala dan patah tangan kanan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bercerita lanjut, Rosmanidar berkata, anaknya menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh selama dua bulan sebelum dibawa pulang ke rumah untuk dijaga keluarga.

“Zulkiflee perlu diberikan penjagaan sepenuh masa 24 jam menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan. Dia perlu dimandi untuk keselesaannya, diberikan minum susu Ensure Gold melalui tiub setiap dua jam.

“Setelah Zulkiflee dan ayahnya tidak lagi boleh bekerja, kami sekeluarga terpaksa ikat perut makan apa yang ada sahaja,” katanya. 

Beliau berkata, sumber kewangan keluarga itu ketika ini bergantung kepada sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan dan Zakat Pahang (RM300). 

“Kos penjagaan Zulkiflee sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk membeli 10 tin susu Ensure Gold dan lampin pakai buang. Satu tin susu berharga RM100. 

“Saya juga perlu membayar sewa rumah RM400 sebulan dan kos elektrik yang meningkat dengan penggunaan penghawa dingin 24 jam.

Penghawa dingin dan katil khas Zulkiflee sumbangan orang ramai termasuk rakan sekerja di Senawang, yang hadir menziarahinya empat tahun lalu,” katanya.

Rosmanidar berkata, atas nasihat doktor, setiap hari dia perlu berkomunikasi dengan Zulkiflee bagi merangsang mindanya kembali pulih.

Tegasnya, biar apapun dugaan mendatang, dia akan terus menjaga anak lelakinya itu dengan harapan Zulkiflee akan kembali pulih.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Rosmanidar Rusli, 156020468923. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×