PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR yang mendakwa ditawar wang dan jawatan supaya lompat parti menegaskan mereka tidak akan berbuat demikian kerana mahu mempertahan mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya yang tidak memperincikan tawaran berkenaan berkata, hasrat untuk kekal bersama PKR juga adalah kerana kredibiliti kepemimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya menghormati pengundi kerana memilih saya yang bertanding atas tiket PKR. Ini juga adalah bukti kesetiaan saya kepada parti yang turut mendukung prinsip telus untuk membantu rakyat.
“Saya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Presiden PKR yang tidak pernah sekali lalai dengan tugasnya sebagai pemimpin. Anwar mampu menjadi seorang pemimpin yang dikenali kerana sebagai ketua pembangkang, beliau telah membuktikannya melalui hubungan baik dengan negara-negara luar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam sidang akhbar di sini kelmarin, Anwar mendakwa empat lagi ahli Parlimen PKR iaitu Karupaiya, Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini dan Ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Leong menerima pelawaan supaya memberikan sokongan kepada kerajaan PN.
Pada awal Mac lalu, Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung cubaan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Senada dengan Karupaiya, Awang yang juga dijanjikan perkara sama berata, dia tidak mahu mengkhianati pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat yang bertanding di bawah parti PKR.
“Sekiranya saya tidak berpendirian dan lompat parti, perbuatan itu mengubah persepsi rakyat terhadap pemimpin yang dengan mudah boleh mengubah ‘kiblat’ politik mereka. Kami dipilih menerusi mandat rakyat, tidak seperti kerajaan sekarang yang bukan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.
“Beberapa pemimpin yang lompat parti mengatakan tindakan mereka itu adalah demi kestabilan negara tetapi kestabilan negara itu tidak langsung bermaksud membenarkan politik wang dan janji-janji manis untuk memberi jawatan itu patut dilakukan demi mendapatkan kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu tidak mendedahkan jumlah wang ringgit yang ditawarkan serta jawatan yang dijanjikan. – UTUSAN ONLINE










