Rampas 42,000 liter diesel subsidi di stor haram

Rampas 42,000 liter diesel subsidi di stor haram

S. JEGAN (tiga dari kanan) ketika turut-serta dalam satu serbuan oleh KPDN Pulau Pinang di sebuah stor haram yang menyimpan diesel subsidi tanpa permit yang sah di Bukit Mertajam, petang tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 42,000 liter diesel bersubsidi bernilai lebih RM90,000 dirampas dalam Op Tiris oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang hasil serbuan ke atas sebuah stor haram di Teluk Wang, di sini hari ini.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang tadi selepas risikan selama seminggu dibuat terhadap stor haram berkenaan yang disyaki menyimpan barang kawalan bersubsidi itu tanpa permit yang sah.

“Pemantauan ke atas stor berkenaan mendapati, terdapat dua buah tangki simpanan dan enam tangki ‘intermediate bulk container’ (IBC) bersambung dengan pam motor yang disyaki digunakan untuk membuat aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sumber yang tidak sah.

”Ketika serbuan dilakukan, didapati tiada sesiapa berada di premis terbabit dan mereka disyaki telah melarikan diri lebih awal,” katanya di sini hari ini.

S. JEGAN

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, premis itu tidak mempunyai lesen menjual barang kawalan bersubsidi atau permit untuk menyimpan barang kawalan berkenaan. 

”Pemeriksaan seterusnya menemukan sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam tangki IBC dan tangki simpanan yang berada di dalam stor tersebut.

”Dianggarkan sebanyak 42,000 liter minyak diesel disimpan di stor ini dan ‘modus operandi’ sindiket ini pula ialah membuat pembelian dari stesen minyak di sekitar kawasan ini sebelum minyak itu dikumpul dan dihantar ke stor untuk diedarkan kepada pihak industri,” katanya.

Tambah Jegan, secara keseluruhannya, KPDN Pulau Pinang telah menyita sebanyak 42,000 liter minyak diesel, dua unit ‘skid tank’ besi, enam unit rangka IBC serta tiga unit pam motor untuk tindakan lanjut. 

”Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM111,800 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×