PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad mencatat untung selepas cukai lebih tinggi berjumlah RM23 juta pada suku ketika berakhir 31 Disember 2023, berbanding defisit yang dicatatkan suku sama tahun kewangan sebelumnya.
Menurut Hartalega, untung sebelum cukai meningkat kepada RM29 juta bagi suku dilaporkan, manakala hasil berjumlah RM416 juta.
Untuk tempoh terkumpul sembilan bulan berakhir 31 Disember 2023, Kumpulan mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM20 juta, terutamanya berasaskan keuntungan tukaran asing dan pendapatan faedah lebih tinggi.
Hasil bagi sembilan bulan berakhir 31 Disember 2023 pula berjumlah RM1.3 bilion.
“Prestasi lebih baik bagi suku tahun dilaporkan dicapai kerana harga bahan mentah yang lebih rendah, pengurangan perbelanjaan utiliti, peningkatan kecekapan pengeluaran berasaskan penggunaan kapasiti lebih tinggi, dan penjimatan kos yang diperolehi daripada rasionalisasi operasi Kumpulan yang sedang dilaksanakan, melibatkan penutupan kemudahan kilang di Bestari Jaya.
“Di samping itu, Kumpulan mencatatkan pendapatan faedah lebih tinggi dan pengiraan semula peruntukan yang tidak lagi perlu dibuat pada suku tahun yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong, walaupun terdapat petunjuk positif bahawa bekalan berlebihan di peringkat global kini sudah mula diatasi secara beransur menerusi usaha mengurangkan kapasiti, lantas mengurangkan sedikit tekanan akibat bekalan berlebihan ke atas pasaran.
Kata beliau, dari segi permintaan, penstabilan permintaan baru-baru ini selepas kemerosotan ketara pada 2023 dan jangkaan kembali ke paras sebelum pandemik pada lewat 2024 atau awal 2025 merupakan petanda positif bagi industri dalam jangka panjang.
“Kumpulan akan terus mengharungi keadaan sukar dalam sektor ini dan mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengukuhkan amalan terbaik dalam pengurusan fiskal.
“Rancangan Strategik 5 Tahun kami menjadi panduan dan hala tuju kami dalam tempoh yang mencabar ini dan kami yakin pelaksanaannya akan membolehkan Kumpulan muncul sebagai Syarikat yang lebih berdaya maju, dengan pendekatan yang lebih inovatif dan tangkas untuk memacu kami ke hadapan,” katanya.
Mengenai Hartalega, Kumpulan mengeluarkan sarung tangan lateks premium sejak 1988 dan kini beroperasi dari kilang pengeluaran serba canggih di Bestari Jaya dan Sepang, Selangor.
Kumpulan mempunyai kapasiti pengeluaran sedia ada yang boleh menghasilkan lebih 44 bilion sarung tangan setahun.
Hartalega kini merupakan pengeluar sarung tangan nitril yang terkemuka di dunia dan mengeksport ke lebih 70 negara meliputi lima benua, iaitu Amerika, Asia, Eropah, Australia dan Afrika.
Hartalega disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada April 2008. Setakat pada 31 Disember 2023, dana pemegang saham Hartalega berjumlah RM4.6 bilion, manakala modal pasaran kini berada pada paras melebihi RM9 bilion. – UTUSAN










