PETALING JAYA: Pemain sepak takraw Malaysia yang tidak berdisiplin, besar kepala, tidak capai tahap kecergasan serta tidak bekerja keras untuk berubah akan digugurkan daripada skuad kebangsaan.
Itu amaran keras Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kepada 18 pemain yang disenaraikan bagi persediaan untuk mewakili negara di Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumpur pada Mei ini.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, pihaknya akan bertindak tegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain yang mempunyai masalah sehingga menjejaskan suasana dalam pasukan.
“Kami sudah berbincang, pemain yang tidak mempunyai disiplin, tidak cergas, fikir diri mereka ‘star’ (pemain bintang) dan tidak betul-betul bekerja keras untuk berubah akan digugurkan daripada skuad kebangsaan,” katanya.
Sumali berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan empat pemain tambahan bagi melengkapkan senarai 18 pemain kebangsaan iaitu dua apit kanan Baihaki A’rippin dan Hafizul Hayazi serta dua tekong, Syahmi Husin dan Ikhwan Syafiq.
Mengulas lanjut, Sumali berkata, pihaknya belum meletakkan sebarang sasaran untuk skuad negara di Piala Dunia Sepak Takraw kerana skuad kebangsaaan baru sahaja menjalani latihan dan tempoh ada beberapa bulan lagi.
“Bagaimanapun, ini (Piala Dunia Sepak Takraw) berlangsung di Malaysia dan kita selaku tuan rumah. Pastinya saya mahu melihat kebangkitan luar biasa daripada skuad kebangsaan dan kita akan mempersiapkan pasukan.
“Melihat kepada prestasi (pemain) di Piala Emas Khir Johari, bagus dan ada pemain baharu selain pemain senior yang masih berbisa. Jadi skuad kebangsaan ada kombinasi (campuran pemain baharu dan lama)
“Pada kejohanan kali ini, sistem kiraan mata berbeza iaitu 15 mata akan diguna pakai buat kali pertama dan kita baharu bermula, kita yakin Thailand pun sama, tidak boleh kata mana-mana pasukan ada kelebihan,” katanya
Ditanya tentang dua pakar Thailand, Poonsak Permsap dan Seksan Tubthong yang dibawa masuk PSM untuk membantu skuad takraw negara, Sumali berkata, kedua-dua bekas pemain Thailand itu akan membantu ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun.
“Poonsak akan bantu regu dan berpasukan selain lihat skuad pelapis manakala Seksan pula pakar acara double jadi fokus dia kepada acara itu. Sekarang tempoh mereka bersama kita hanya empat bulan.
“Ini percubaan berfasa, kalau berjaya dan ada kesan positif kita akan bincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk sambung kerana melibatkan soal gaji dan sebagainya,” Tambah Sumali.
Senarai awal 14 pemain kebangsaan itu adalah Haziq Hairul Nizam, Zarif Marican Ibrahim Marican, Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zuhri Zain dengan masing-masing memikul tanggungjawab sebagai tekong.
Dalam posisi apit kanan pula diisi Mohamad Azlan Alias, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhmmad Redwan Hakim Muhammad dan Muhammad Arief Danial Mohamad Arifin.
Posisi apit kiri Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Muhammad Zaim Razali, Nurfaizzul Razak dan Aidil Aiman Azwawi. – UTUSAN










