Usah buka ruang maksiat baharu

Usah buka ruang maksiat baharu

SETIAP kita sebagai anggota masyarakat perlulah melaksanakan peranan membanteras kemaksiatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

 

BARU-BARU ini, seorang pelakon, penerbit dan usahawan telah mencetuskan isu hangat apabila mengemukakan cadangan peribadinya agar rumah pelacuran khusus untuk pekerja asing dibuka di negara ini.

Ia berpandangan demikian berdasarkan jumlah pekerja dan pendatang asing yang dilihatnya semakin membanjiri Malaysia sejak kebelakangan ini dan kononnya bagi mengurangkan kes rogol.

Hakikatnya, apa yang diperkatakannya itu adalah dua isu yang berbeza hingga membuka ruang kemaksiatan kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia, bahkan sesuatu yang mungkar.

Cadangan tersebut telah mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.

Mewujudkan rumah pelacuran di negara ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam perlembagaannya.

Justeru, pekerja asing yang bekerja di negara ini perlu diberitahu tentang perkara ini dan mereka mestilah menghormati perlembagaan serta undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki.

Setiap kita sebagai anggota masyarakat perlulah melaksanakan peranan membanteras kemaksiatan, bukan mencadangkan sesuatu yang memudahkan orang lain melakukan maksiat. Hakikatnya, ia bukanlah menyelesaikan masalah tetapi memberi ruang timbulnya masalah yang baharu.

Ketika telah menjadi somebody, sangatlah perlu kita berhati-hati dalam mengungkapkan sesuatu pandangan, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan sesuatu yang negatif hingga menampakkan ‘ketidakcerdikan’ diri.

Sesiapa pun wajar mengambil pengajaran agar isu sedemikian tidak berulang lagi. Tidak terkecuali, pekerja-pekerja asing perlu diingatkan tentang bahaya melibatkan diri dalam perlakuan yang keji ini serta kesan buruknya ke atas masyarakat serta negara.-UTUSAN

 

ATRIZA UMAR

Pegawai Jabatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×