MARAN: Lesung tangan kayu berusia lebih 100 tahun menjadi koleksi artifak terbaharu disimpan di Galeri Awla Pok Kob di Chenor di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mudir Pondok Pok Kob, Barkatullah Mohd. Bahari, 40, berkata, lesung diperbuat daripada kayu merbau itu dihadiahkan Habsah Abdullah, 67, yang tinggal di Chenor kepada galeri untuk disimpan bagi rujukan generasi akan datang.
Menurutnya, lesung kayu itu lebih besar berbanding batu yang biasa digunakan bagi menghasilkan kuantiti bahan sesuai dengan ahli keluarga dan tetamu.
“Lesung tangan kayu ini biasa digunakan untuk menghancurkan bahan sambal belacan atau kuih muih seperti putu kacang dalam kuantiti yang banyak.
“Lesung ini sesuai digunakan untuk jumlah keluarga dan bilangan tetamu ramai berbanding lesung batu yang saiznya lebih kecil,” katanya di sini.
Barkatullah berkata, lesung adalah bekas yang digunakan bersama alunya oleh masyarakat Melayu tradisional untuk menumbuk bahan-bahan tertentu untuk tujuan masakan.
Beliau berkata, dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa jenis lesung antaranya padi atau kaki yang diperbuat daripada kayu keras.
Katanya, lesung yang dibuat daripada kayu berbentuk seperti perahu berukuran kecil dengan panjang sekitar dua meter, lebar 0.5 meter dan kedalaman sekitar 40 sentimeter (cm).
“Ia dipegang dengan tangan mahupun kaki yang masih popular di kawasan sawah padi bagi tujuan membuat emping dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 200 artifak disimpan di galeri berkenaan antaranya adalah dua mushaf al-Quran tulisan tangan, kitab-kitab lama, senjata dan bahan peninggalan para ulama zaman silam. – UTUSAN











