PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini (Isnin) lebih rendah berikutan kekurangan pemangkin baharu, kata peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.47 mata kepada 1,514.11 daripada 1,516.58 penutup Jumaat lepas, memetik laporan Bernama.
Indeks barometer dibuka 0.67 mata lebih mudah pada 1,515.91 dan seterusnya bergerak antara 1,513.27 dan 1,520.98 sepanjang sesi.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 529 berbanding 356, manakala 411 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Terdahulu, Bursa Malaysia dibuka awal pagi ini tinggi sedikit di tengah-tengah sokongan belian yang berterusan, menurut penganalisis.
Pada 9.01 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.08 mata kepada 1,517.66 daripada 1,516.58 penutup Jumaat lepas.
Indeks barometer dibuka 0.67 mata lebih mudah pada 1,515.91.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 131 berbanding 116, manakala 210 kaunter tidak berubah, 1,779 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 78.64 juta unit bernilai RM21.62 juta.
Dalam nota kajian, Sekuriti Melaka menjangkakan sokongan belian akan berterusan minggu ini.
“Minggu ini, pasaran akan memantau PMI Perkhidmatan ISM Amerika Syarikat dan data tuntutan pengangguran pada Khamis,” katanya.
Memandangkan momentum amanah pelaburan hartanah (REIT) serta sektor pengangkutan dan logistik adalah baik minggu lepas, Sekuriti Melaka berkata, mungkin terdapat sokongan belian berterusan minggu ini dengan REIT disokong oleh kadar dasar semalaman (OPR) yang stabil.
“Sementara itu, pemangkin dagangan lain seperti potensi pemulihan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) serta pelaburan wilayah Johor boleh memberi petanda baik bagi sektor pembinaan, hartanah, utiliti dan bahan binaan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB Group Holdings Bhd. menokok dua sen kepada RM6.25, CelcomDigi Bhd. meningkat dua sen kepada RM4.23, dan IHH Healthcare Bhd. meningkat lima sen kepada RM6.15. Sementara itu Petronas Chemicals Group Bhd. tidak berubah pada RM6.78, Malayan Banking Bhd. susut dua sen kepada RM9.32 dan Public Bank Bhd. pula susut satu sen kepada RM4.42.
Bagi saham aktif, Sapura Energy Bhd. menambah setengah sen kepada lima sen, sementara Handal Energy Bhd. naik setengah sen pada 9.5 sen. KJTS Group Bhd. pula meningkat tujuh sen kepada 54.5 sen, TWL Holdings Bhd. tidak berubah pada empat sen. , Bina Puri Holdings Bhd. tidak berubah pada tujuh sen dan MAG Holdings Bhd. susut setengah sen kepada 19.5 sen. – UTUSAN










