GAZA: Kumpulan pejuang Hamas mengutuk gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas Yemen.
Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa serangan itu akan membawa kekacauan lagi ke Asia Barat.
Hamas dalam satu kenyataan menyebut pengeboman pemberontak Houthi menyasarkan serangan terang-terangan terhadap kedaulatan negara Arab dan mengheret wilayah itu ke dalam kegawatan lagi.
Semalam, AS dan Britain menyerang berpuluh-puluh tempat sasaran di Yemen, operasi ketiga mereka sebagai tindak balas kepada serangan berulang kumpulan Houthi ke atas perkapalan Laut Merah yang mengganggu perdagangan global.
Serangan udara di Yemen itu berlaku sehari selepas gelombang berasingan serangan unilateral AS terhadap sasaran berkaitan Iran di Iraq dan Syria sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan tiga askar AS di Jordan pada 28 Januari lalu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani sebelum ini menuduh AS dan Britain menimbulkan huru-hara, kekacauan, ketidakamanan dan ketidakstabilan dengan menyokong Israel.
Beliau berkata, serangan ke atas Yemen adalah bercanggah dengan dakwaan berulang Washington dan London bahawa mereka tidak mahu peluasan perang dan konflik di rantau ini.-AFP










