KULIM: Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) komited untuk memperkenalkan inisiatif bandar pintar di Kedah, bagi memastikan daerah itu menuju ke arah digitalisasi pada masa hadapan.
Yang Dipertua MPKK, Datuk Elmi Yusoff berkata, satu kerjasama dimeterai bersama sebuah syarikat untuk menilai persekitaran semasa di Kulim sebelum mengintegrasikan penyelesaian mampan serta teknologi terkini untuk meningkatkan taraf hidup di situ.
“Dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan penyelesaian inovatif, kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pengurusan bandar, kecekapan dan kualiti hidup secara keseluruhan bagi penduduk Kulim,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memeterai kerjasama startegik dengan HeiTech Padu Berhad yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia; Masyarakat Cina, India dan Siam; NGO negeri, Wong Chia Zhen.
Menurut Elmi, kerjasama itu membolehkan MPKK memanfaatkan kepakaran syarikat itu dan berkolaborasi untuk merumuskan pendekatan terbaik bagi pelaksanaan bandar pintar.
Ujarnya, sebagai rakan teknologi utama, HeiTech Padu akan memainkan peranan penting dalam membimbing MPKK melalui proses membangunkan dan melaksanakan inisiatif bandar pintar yang disesuaikan dengan konteks tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HeiTech Padu, Salmi Nadia Mohd. Hilmey berkata, mereka akan menyumbangkan kepakaran dalam bidang teknologi digital, perancangan bandar dan penyelesaian bandar pintar.
Beliau berkata, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada tujuh komponen utama yang disenaraikan dalam Kerangka Bandar Pintar Malaysia iaitu ekonomi, kehidupan, alam sekitar, penduduk, kerajaan, mobiliti dan Infrastruktur Digital Pintar.
“Kami akan memberi peranan sebagai penasihat dalam sudut trend teknologi, memudahkan perundingan dengan pihak berkepentingan dan menyusun penyelesaian yang disesuaikan untuk teknologi pintar ke dalam perancangan bandar dan perkhidmatan awam. -UTUSAN










