KERAJAAN telah mengambil keputusan untuk memansuhkan sistem pencen bagi penjawat awam untuk pengambilan baharu bermula 1 Februari ini. Keputusan ini terpaksa diambil akibat tekanan ekonomi negara disebabkan hutang tinggi serta dana simpanan yang berkurangan.
Keadaan ekonomi masa ini dilihat tidak mampu untuk menampung pembayaran wang pencen kepada pesara di masa akan datang disebabkan jangkaan jumlah golongan itu semakin ramai dan jangka hayat usia mereka juga semakin meningkat. Unjuran data pembayaran pencen pada 2040 dijangka mencecah RM120 bilion.
Namun, pemansuhan sistem pencen untuk penjawat awam ini akan memberi kesan yang besar kepada pentadbiran negara terutamanya dalam soal sumber manusia. Kebanyakan individu yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam adalah disebabkan faedah dan manfaat yang ada bersama jawatan tersebut terutamanya sistem pencen.
Melalui sistem pencen tersebut, perkhidmatan awam dianggap sebagai pekerjaan yang memberi jaminan kehidupan yang selesa setelah mencapai umur persaraan. Sistem pencen juga sebenarnya menjana rasa kekitaan dan patriotisme kepada negara. Justeru, tanpa pencen, sektor awam dilihat kurang menarik kerana faktor-faktor tertentu termasuk gaji rendah, tiada bonus yang tinggi, kemudahan yang tidak mencukupi serta tekanan kerja yang berbeza dari sektor swasta.
Antara cabaran utama penjawat awam termasuk kesediaan menjalankan tugas dengan sumber yang minimum. Malah ada juga yang terpaksa mengeluarkan wang peribadi bagi menampung sesetengah tugas atau aktiviti. Sebagai contoh, guru di sekolah yang terpaksa membeli kertas A4 bagi tujuan kegunaan pelajar di dalam kelas, menggantikan peralatan sukan yang rosak, menambah wang sendiri bagi mencukupkan dana untuk menampung pelajar yang menyertai sesuatu pertandingan di luar kawasan daerah dan banyak lagi.
Tidak semua sekolah mempunyai dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mencukupi manakala bajet dari kerajaan mungkin hanya mampu digunakan untuk perkara yang lebih mendesak seperti membaiki kerosakan fasiliti asas.
Contoh cabaran lain juga dapat dilihat dalam kalangan pekerja barisan hadapan seperti bomba dan mereka yang berada di sektor kesihatan. Tugas utama mereka adalah harus berada dalam keadaan sentiasa bersiap sedia kerana kemalangan dan kecemasan boleh berlaku tanpa di jangka. Mereka adalah tunggak utama yang senantiasa melakukan yang terbaik demi keselamatan dan nyawa manusia di dalam negara ini.
Pengorbanan penjawat awam barisan hadapan tersebut secara terang dapat dilihat setiap hari yang mana tidak mampu untuk kita nilaikan atau membalas jasa-jasa mereka.
Tujuan utama kewujudan sektor swasta adalah memaksimumkan keuntungan pemegang saham melalui perniagaan produk atau servis mereka. Manakala tujuan dan misi sektor awam adalah mementingkan aspek pengurusan negara termasuk keselamatan, kesihatan, pendidikan, sosioekonomi serta kebajikan untuk rakyat. Oleh itu, jawatan perkhidmatan awam sebenarnya memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi demi memberi kesejahteraan dari segala aspek berkepentingan kepada negara.
Sektor swasta sangat kompetitif dan majikan mereka sentiasa menyediakan pakej faedah yang menarik kepada pekerja terutamanya jawatan yang memerlukan kemahiran tinggi. Sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang digunakan sebagai ganti kepada sistem pencen membolehkan individu yang berkhidmat dalam sektor awam bertukar kerja pada bila-bila masa tanpa ikatan.
Antara jawatan yang berisiko termasuk bidang kesihatan, kejuruteraan, pendidikan, pentadbiran dan kepimpinan, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), peguam dan banyak lagi yang berkaitan dengan kemahiran tinggi.
Di tambah dengan lantikan baharu yang kebanyakannya dari generasi muda seperti Gen-Y dan Gen-Z, mereka amat mengutamakan permintaan dari segi manfaat serta makna dalam pekerjaan. Kerajaan akan berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan bakat-bakat muda tersebut di dalam perkhidmatan awam.
TAMBAH KOS
Dapatan kajian dari Pakar Ekonomi University of Colorado, Professor Emeritus Dr. Wayne Cascio menunjukkan kos penggantian seorang pekerja adalah 2.5 kali ganda daripada gaji tahunan bagi sesuatu jawatan yang terlibat. Sebagai contoh jika gaji tahunan seorang pekerja yang perlu diganti itu berjumlah RM50,000, maka kos yang terlibat untuk mendapatkan individu lain bagi mengisi jawatan tersebut adalah RM125,000.
Dengan keadaan yang sedang berlaku dalam sektor penjawat awam, kadar perolehan pekerja dijangka akan lebih tinggi di masa hadapan. Justeru, kos pentadbiran pekerja juga turut meningkat selaras dengan keperluan perkhidmatan.
Ditambah pula dengan pasaran jawatan sektor awam yang besar untuk seluruh negara, sudah pasti perbelanjaan kerajaan juga akan menjadi lebih besar. Adakah kerajaan mampu untuk menyelaraskan semula gaji penjawat awam setaraf dengan sektor swasta dan pada masa yang sama perlu membelanjakan kos kadar perolehan pekerja yang dijangkakan lebih tinggi dari sekarang.
Kerajaan akan menanggung bebanan yang bertambah bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga berdepan dengan kekurangan pekerja mahir yang sebenarnya amat membimbangkan.
Pentadbiran negara akan terkesan kerana berdepan dengan perubahan pengekalan kerja penjawat awam ini disebabkan tiada insentif yang mampu mengikat mereka untuk kekal bekerja di sektor awam seperti mana sistem pencen yang telah digunakan sejak sekian lama oleh negara ini.
Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dan ditambah baik untuk menghadapi cabaran ini, namun ia memerlukan tempoh pelaksanaan jangka masa panjang. Walaupun pemansuhan sistem pencen ini dilihat sebagai wajar dari perspektif tekanan ekonomi, persoalan utama yang patut kita tekankan adalah sama ada kesannya lebih menjurus kepada kebaikan atau keburukan pada negara.
Kerajaan juga perlu kenal pasti sama ada pengurangan perbelanjaan negara ini perlu melibatkan sistem pentadbiran penjawat awam atau boleh dikaji semula untuk mengenal pasti sudut perspektif lain yang boleh memberikan kebaikan yang lebih baik dalam aspek yang tidak melibatkan sumber manusia.
Setiap perubahan dalam sistem perkhidmatan awam pasti akan membabitkan soal sumber kewangan. Pengurusan serta pentadbiran kemajuan ekonomi masih perlu diperbaiki segera.
Jika memang tiada pilihan lain, maka penjelasan strategi yang menerangkan maksud penambahbaikan sistem persaraan kepada sistem KWSP juga perlu segera diumumkan kepada orang awam supaya kegelisahan rakyat yang tertekan dengan keadaan ekonomi ini dapat ditenangkan. – UTUSAN
DR. Safiah Omar ialah pensyarah kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.










