Sepak takraw Melaka sasar layak ke Champion Cup

Sepak takraw Melaka sasar layak ke Champion Cup

AB. RAUF Yusoh menjulang Piala Emas Khir Johari bersama barisan pemain dan pengurusan pasukan di hadapan Menara Taming Sari, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari Edisi Ke-57 di Kedah selepas 39 tahun penantian, menyasarkan menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) 2024 Divisyen Satu, Ogos ini.

Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kemenangan bersejarah menjuarai kejohanan tertua itu dengan menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam perlawanan akhir menyakinkan peluang mereka berentap dalam Divisyen Satu seterusnya layak ke STL Champions Cup pada November.

Menurutnya, enam pemain sepak takraw kebangsaan yang diikat Pastam menerusi kontrak setahun akan menjadi sandaran utama buat pasukan itu mengharungi cabaran.

“Tiada ungkapan yang mampu saya luahkan atas kejayaan Melaka menjuarai Piala Emas Khir Johari. Kita kehausan gelaran selama 39 tahun dan berjaya diterjemahkan dengan gelaran juara.

“Jutaan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan penaja yang memberi dorongan dan sokongan hingga kita berjaya.

“Kemenangan ini juga menjadi suntikan semangat kepada pemain-pemain muda di negeri ini untuk mereka kita pilih mewakili Melaka dan pemain sedia ada menjadi mentor mereka,” katanya kepada pemberita selepas perarakan skuad juara Piala Emas Khir Johari di hadapan Menara Taming Sari di sini, semalam.

Terdahulu, pemain Melaka diarak dari hadapan Muzium Samudera membawa Piala Emas Khir Johari dalam suasana penuh gilang-gemilang hingga di hadapan Menara Taming Sari.

Mereka disambut Ab. Rauf Yusoh serta dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Tambah Akramuddin, selain STL sasaran turut diletakkan untuk merampas Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali yang dimenangi Perak, November tahun lalu.

Menurutnya, majlis perarakan diadakan itu dapat menyuntik semangat pemain muda untuk mewakili Melaka pada masa akan datang.

Sementara itu, ketua pasukan yang juga tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi mengakui, suasana sedemikian adalah kali pertama dirasainya sejak berkecimpung dalam sukan tersebut.

“Ini kali pertama saya diraikan sebesar ini walaupun pernah menang banyak kejohanan tetapi di Melaka saya bersama pemain lain diraikan dan diarak sebegini meriah dan berasa kami dihargai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×