MELAKA: Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (Tapem) meluluskan peruntukan bantuan persekolahan sekolah rendah bagi sesi akademik 2024 sebanyak RM412,000.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, agihan itu melibatkan seramai 2,060 orang murid dari 241 buah sekolah rendah di seluruh negeri ini dengan nilai RM200 seorang.
Kata beliau, penerima bantuan bagi Parlimen Hang Tuah Jaya adalah seramai 206 murid melibatkan 24 buah sekolah manakala Parlimen Kota Melaka membabitkan 369 orang penerima dari 44 buah sekolah.
“Parlimen Tangga Batu pula seramai 241 penerima dari 30 buah sekolah. Bagi Parlimen Jasin, agihan melibatkan seramai 415 murid daripada 50 buah sekolah dan 493 murid dari 55 buah sekolah di Parlimen Alor Gajah.
“Bagi Parlimen Masjid Tanah, bantuan diberikan kepada 38 sekolah membabitkan 336 penerima. Kerajaan negeri komited memastikan anak Melaka mendapat peluang serta akses pendidikan yang terbaik.
“Saya percaya sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan ibu bapa untuk memulakan sesi persekolahan pada 11 Mac nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah 2024 di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan.
Dalam pada itu, Azman berkata, seramai 137,832 pelajar di Melaka akan menerima RM150 seorang membabitkan peruntukan sebanyak RM20.6 juta.
Katanya, bantuan itu melibatkan 317 buah sekolah dan agihan dijangka selesai sebelum 8 Februari ini.
“Sebanyak 315 sekolah telah selesai menerima agihan sejak ia bermula pada 11 Januari lalu dan selebihnya dijangka sebelum cuti penggal persekolahan. Setakat ini di Melaka isu (agihan) kerana semua telah diberikan kepada murid.
“Pemberian bantuan awal ini RM150 ini adalah amalan kita sejak 2012. Jadi duit yang diberikan kepada murid melalui ibu bapa perlu diberikan secara keseluruhan tanpa perlu ada pemotongan,” ujarnya. – UTUSAN










