BAITULMUQADDIS: Penduduk Gaza kini berdepan ancaman kebuluran berikutan sukar mendapat bekalan dan minuman.
Malah, ada penduduk didakwa terpaksa makan rumput dan minum air tercemar untuk meneruskan kehidupan.
Seorang ahli terapi fizikal yang berpindah ke Rafah, Mohammed Hamouda bercerita mengenai rakan sekerjanya, Odeh Al-Haw yang terbunuh ketika cuba mendapatkan air untuk ahli keluarganya.
Katanya, Odeh sedang beratur di stesen air di kem pelarian Jabalya, di utara Gaza apabila dia dan berpuluh-puluh yang lain diserang oleh Israel.
“Malangnya, ramai saudara-mara dan rakan-rakan masih berada di utara Gaza, ramai menderita. Mereka terpaksa makan rumput dan minum air tercemar,” katanya.
TIDUR ELAK RASA LAPAR
Seorang penduduk, Hanadi Gamal Saed El Jamara, 38, pula berkata, tidur sahaja yang boleh mengalihkan perhatian anak-anaknya daripada berasa lapar.
Ibu kepada tujuh anak itu mengakui terpaksa mengemis untuk makanan di jalan-jalan berlumpur di Rafah, selatan Gaza.
“Kami akan mati perlahan-lahan. Saya rasa lebih baik mati akibat bom, sekurang-kurangnya kami akan mati syahid. Tetapi sekarang, kami mati kerana lapar dan dahaga,” kata Hanadi.
Dia cuba memberi makan anak-anaknya sekurang-kurangnya sekali sehari sambil merawat suaminya, seorang pesakit kanser dan diabetes.
“Mereka lemah sekarang, mereka selalu cirit-birit, muka mereka kuning. Anak perempuan saya berusia 17 tahun memberitahu dia berasa pening, suami saya pula tidak makan,” kata Hanadi yang dipaksa berpindah dari utara Gaza.
Ketika Gaza semakin menuju ke arah kebuluran besar-besaran, orang awam dan pekerja kesihatan yang kehilangan tempat tinggal memberitahu CNN bahawa mereka juga terpaksa menahan kelaparan supaya anak-anak boleh makan sekadar apa yang ada.
Jika rakyat Palestin menjumpai air, ia berkemungkinan tidak boleh diminum.
Apabila trak bantuan masuk, orang ramai berebut, memanjat satu sama lain untuk mendapatkan bantuan.
Kanak-kanak yang terbiar di jalanan kelihatan menangis dan berebut roti basi.
Yang lain dilaporkan berjalan berjam-jam dalam kesejukan mencari makanan, berisiko terdedah kepada serangan Israel.
BERGANTUNG SOKONGAN MAKANAN
Ketua Ekonomi Program Makanan Sedunia (WFP), Arif Husain berkata, sebelum perang, dua daripada tiga orang di Gaza bergantung kepada sokongan makanan.
Katanya, rakyat Palestin melalui 17 tahun sekatan separa yang dikenakan oleh Israel dan Mesir.
Pengeboman dan pengepungan Israel sejak 7 Oktober lalu mengurangkan bekalan penting di Gaza secara drastik menyebabkan kira-kira 2.2 juta penduduk terdedah kepada tahap ketidakselamatan makanan akut yang tinggi.
Ketua Bantuan Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths memberitahu CNN bahawa majoriti daripada 400,000 penduduk Gaza yang dicirikan oleh agensi PBB sebagai berisiko kebuluran.
MUSNAH SISTEM MAKANAN
Malah, pakar hak asasi manusia PBB memberi amaran Israel memusnahkan sistem makanan Gaza dan menggunakan makanan sebagai senjata terhadap rakyat Palestin.
Lebih daripada 100 hari, rakyat Palestin di Gaza menyaksikan perpindahan besar-besaran, kawasan kejiranan bertukar menjadi abu dan runtuhan, seluruh keluarga terhapus oleh peperangan, lonjakan penyakit maut dan sistem perubatan rosak akibat pengeboman.
Kini, kebuluran dan dehidrasi adalah ancaman utama kepada kelangsungan hidup mereka.
Serangan Israel ke atas Gaza sejak serangan Hamas 7 Oktober lalu membunuh sekurang-kurangnya 27,000 orang dan mencederakan 65,387 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas.
Seorang pekerja kesihatan yang kehilangan tempat tinggal memberitahu CNN, rakannya terbunuh terkena bom Israel di wilayah itu ketika cuba mendapatkan air untuknya.
Sekatan Israel terhadap penghantaran bantuan bermakna stok makanan sangat rendah, harga meningkat dan menjadikan makanan tidak dapat diakses oleh penduduk di seluruh Gaza.
Menurut PBB, kekurangan makanan lebih teruk lagi di bahagian utara Gaza di mana Israel menumpukan serangan sejak awal peperangan. –CNN










