HULU SELANGOR: Seramai 350 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Batang Kali (SMKBBBK), di sini menerima pelbagai kelengkapan sekolah sumbangan Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) bagi sesi persekolahan baharu pada Mac ini.
Pelajar-pelajar tersebut dikenal pasti datang dari keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan menerima Program Jalinan Pintar: Back-To-School di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada dasar CSR syarikat berkaitan pendidikan bagi memastikan setiap orang mendapat peluang akademik.
Menurutnya, perbezaan ekonomi dalam kalangan masyarakat khususnya melibatkan pelajar sekolah tidak sepatutnya mewujudkan jurang yang menjadi halangan dalam kalangan mereka untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.
“Kami percaya setiap anak-anak berhak mendapat peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi. Justeru, program Back-To-School kami membuktikan komitmen dalam menyokong masyarakat dalam memperkasakan generasi masa hadapan.
“Dengan khidmat masyarakat secara aktif, meletakkan Gas Malaysia sebagai majikan pilihan yang memberi inspirasi kepada warganya rasa dihargai dan mewujudkan sikap positif bukan sahaja di peringkat syarikat tetapi masyarakat,” katanya ketika berucap dalam program tersebut, hari ini.
Menerusi Program Jalinan Pintar: Back-To-School itu, pelajar-pelajar terlibat menerima sumbangan berbentuk kelengkapan seperti pakaian seragam, kasut, beg, kalkulator saintifik dan sebagainya.
Sementara itu, Pengetua Cemerlang SMKBBBK, Hanishah Mohd. memberitahu, penganjuran program oleh Gas Malaysia di sekolahnya adalah bertepatan dengan komposisi pelajar sekolah berkenaan apabila 81 peratus pelajar adalah dalam kalangan keluarga B40.
“Daripada 1,686 pelajar, 81 peratus adalah daripada keluarga B40, manakala 350 yang terpilih pula adalah benar-benar memerlukan. Saya yakin sumbangan tersebut dapat mengurangkan beban ibu bapa bagi pembukaan sesi baharu persekolahan nanti.
“Selain itu, saya juga menganggap sumbangan itu sebagai penghargaan kepada pelajar-pelajar untuk menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada mereka untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum masing-masing,” ujarnya.
Selain sumbangan persekolahan, pelajar juga diberi pendedahan mengenai kesedaran terhadap keselamatan persekitaran oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). – UTUSAN










