Op Tapis: 5,791 orang termasuk pelajar, penjawat awam ditahan

Op Tapis Khas: 5,791 orang termasuk pelajar, penjawat awam ditahan

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 5,791 individu atas pelbagai kesalahan dadah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Tapis Khas di seluruh negara pada 29 hingga 31 Januari lalu.

Serbuan tersebut membabitkan kawasan Felda dan Felcra, ‘port’ penagih, Projek Perumahan Rakyat (PPR), sekatan jalan raya dan perkampungan nelayan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, tangkapan itu dilaksanakan bersama JSJN negeri-negeri yang disertai 2,281 pegawai dan anggota.

Katanya, seramai 6,061 individu telah diperiksa dan daripada jumlah itu, pihaknya menahan 5,791 orang atas pelbagai kesalahan dadah serta kesalahan lain yang berusia lingkungan antara 14 hingga 80 tahun.

“Daripada jumlah itu,seramai 534 orang adalah tokan dadah termasuk seorang pelajar sekolah manakala 3,226 orang adalah penagih (4 penjawat awam dan 2 pelajar).

“Selain itu, seramai 247 orang lagi adalah dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah manakala 1,784 orang lagi termasuk empat pelajar sekolah ditahan atas lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, operasi itu memberi tumpuan kepada mengesan dan menangkap tokan dadah di sekatan jalan, memusnahkan lokasi penagihan, bertindak atas penagih tegar, menangkap suspek dikehendaki kesalahan dadah serta tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang dikenal pasti.

Mengulas lanjut, Kamarudin memaklumkan, nilai dadah yang dirampas membabitkan pelbagai jenis dadah seberat 128.3 kilogram (kg) dan16,076 liter yang dianggarkan bernilai RM610,071.39.

“Antara yang dirampas adalah syabu (4.02 kg), ganja (8.7 kg), heroin (4.1 kg), ketamin (1.07 kg) pil yaba (1.6 kg), serbuk ekstasi (23.7 kg) dan air ketum sebanyak 16,063 liter.

“Selain itu, sitaan pelbagai aset milik kesemua suspek dilakukan membabitkan jam tangan, barang kemas, kenderaan serta wang tunai kesemuanya dianggarkan bernilai RM34,872 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 sekaligus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan aset berjumlah RM1.55 juta,” ujarnya.

Tegas beliau, kesemua suspek disiasat dibawah pelbagai seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, individu dikehendaki dan juga Akta Racun 1952.

Katanya, pihak JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah serta berharap agar masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaan dadah yang berlaku di sekeliling mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×