Dari udara ke ladang integrasi

Dari udara ke ladang integrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCEBURI bidang pertanian bukanlah menjadi pilihan kebanyakan anak muda ketika ini meskipun ia berpotensi memberikan pendapatan lumayan.

Namun begitu, berbeza pula dengan anak muda ini. Bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini, beralih arah daripada kerjaya lama dengan menerajui jenama Temin Legacy dalam membangunkan ladang integrasi di Labu Hilir, Nilai, Seremban.

Mereka sanggup menyahut cabaran dan seruan ke arah menjadi usahawan tani berjaya yang mampu menjadi contoh kepada pelapis baharu untuk menceburi bidang pertanian moden demi meneruskan legasi generasi lama.

Mejar (B) Mohd. Farid Daud TUDM (B), 37, yang merupakan bekas jurutera menerajui bidang berkenaan bersama abangnya, Mohd. Affendy 43.

Turut serta rakan mereka yang merupakan bekas juruterbang, Kapten (B) Ahmad Haziq Mat Hassan TUDM.

Beliau bergiat sebagai tonggak utama Temin Legacy Sdn. Bhd. (Temin Legacy).

Syarikat berkenaan bertanggungjawab menguruskan ladang integrasi yang menggabungkan tanaman dan ternakan seperti pisang, tebu, labu manis, rumput napier, ayam kampung, dan ikan keli dengan pelaburan awal hampir RM100,000 di atas tanah seluas 6.07 hektar terdiri daripada beberapa plot di sekitar Nilai, Seremban.

Menurut Mohd. Farid, sebelum bergelar usahawan tani, beliau berkhidmat di TUDM sebagai jurutera pesawat selama hampir 10 tahun sebelum menamatkan perkhidmatan lebih awal dan meneruskan minat menceburi bidang pertanian.

“Sumber inspirasi dalam bidang pertanian itu adalah daripada keluarga saya sendiri yang turut mengusahakan beberapa tanaman termasuk pernah membekalkan anak buluh untuk ladang seluas lebih 40 hektar di Jerantut, Pahang.

“Kepakaran dan pengalaman saya dalam bidang kejuruteraan penerbangan sebelum ini tidak disia-siakan begitu sahaja, sebaliknya segala ilmu dan pengalaman digunakan sebaik mungkin bagi membangunkan sebuah ladang integrasi moden.

“Sejak mengusahakan ladang integrasi ini pada 2022, ia mampu mengeluarkan hasil maksimum dianggarkan mencecah 200 tan setahun dengan potensi pulangan maksimum mampu mencecah RM600,000,” katanya.

Cari pelabur berminat
MOHD. Farid, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Aeronautik dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, ketika ini, syarikatnya itu mengintai peluang pelaburan dengan menyasarkan tempoh sehingga lima tahun, syarikat mampu mengembangkan projek pertanian berskala besar yang berkeluasan sehingga 121 hektar.

“Syarikat juga kini dalam proses mencari pelabur yang berminat untuk projek pertanian berskala besar yang dibuat secara berfasa dan dijangka akan turut dijalankan di Pahang.

“Apabila mengusahakan projek pertanian berskala besar, penggunaan teknologi dron amat membantu kerana ia mampu merevolusikan sektor pertanian demi kelestarian sumber makanan negara.

“Ia ternyata dapat memastikan penjimatan penggunaan tenaga kerja, masa dan memberikan keseragaman operasi ketika proses meracun, pembenihan dan pembajaan berbanding teknik konvensional,” katanya.

Mohd. Farid menjelaskan, kehadiran teknologi baharu dalam sektor pertanian berupaya memacu inovasi dalam meningkatkan kualiti tanaman dan jumlah pengeluaran bagi memenuhi keperluan rakyat dan permintaan pasaran.

Situasi berkenaan sekali gus menjana keuntungan maksimum kepada usahawan tani muda.

“Generasi muda harus mengubah persepsi menjadi petani yang masih memegang cangkul di tengah panas semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai minda usahawan tani yang berdaya saing dengan menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing untuk membangunkan industri pertanian negara ke satu tahap yang lebih moden, setaraf negara-negara maju yang lain,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran, Mohd. Farid berkata antara pengalaman dan cabaran yang pernah dilalui syarikat sepanjang mengusahakan projek pertanian adalah mengalami kerugian mencecah RM400,000 akibat faktor ancaman haiwan perosak dan liar.

“Untuk itu, daripada segi penjagaan tanaman perlu diberi perhatian rapi.

“Pemantauan berkala mengikut giliran plot amat penting. Itu juga antara rutin perlu dipatuhi mengikut kepada jadual ditetapkan,” katanya.

Antara pengalaman manis dilalui ialah bila syarikat memperoleh permintaan tinggi daripada pemborong termasuklah dari pasar borong Selayang, Banting dan Kuala Selangor.

Sementara itu, Ahmad Haziq berkata, industri pertanian mempunyai potensi besar untuk diterokai memandangkan pengeluaran hasil tempatan masih belum mampu memenuhi permintaan semasa dan secara tidak langsung menjejaskan kestabilan sekuriti makanan negara.

“Negara memerlukan pelapis dalam kalangan anak muda bagi memastikan kelangsungan pengeluaran hasil tanaman dan ternakan.

“Oleh sebab itu kami menyahut cabaran itu dan Alhamdulillah, segala penat lelah serta cabaran dihadapi sebelum ini berbaloi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×