Arab Saudi bakal lancar kereta api mewah

Arab Saudi bakal lancar kereta api mewah

GAMBAR kereta api mewah Dream of the Desert yang bakal dilancarkan pada 2025. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi dilaporkan bakal melancarkan kereta api mewah pertama  di negara itu.

Saudi Arabia Railways (SAR) baru-baru ini memeterai perjanjian bernilai 200 juta saudi riyal (RM252.2 juta) dengan syarikat perhotelan Itali, Arsenale Group bagi melancarkan kereta api tersebut.

Berdasarkan laporan media kerajaan Arab Saudi, kereta api mewah yang dikenali sebagai Dream of the Desert akan mula beroperasi pada akhir tahun 2025.

Menurut kenyataan SAR, Dream of the Desert akan menawarkan `perjalanan kereta api mewah’ dari ibu kota Riyadh ke Qurayyat, yang terletak berhampiran sempadan utara dengan Jordan.

Reka bentuk kereta api itu diilhamkan daripada gaya dan tradisi Arab Saudi.

Malah, kereta api rekaan eksklusif itu bakal mempunyai 40 kabin yang dihias indah dengan pelbagai kemudahan istimewa.   

Dream of the Desert ketika ini masih dalam pembinaan, dengan tempahan dijadualkan dibuka pada akhir tahun ini.

“Perjalanan satu atau dua malam akan tersedia untuk ditempah, dengan kapasiti maksimum 82 penumpang,” kata ketua pegawai eksekutif Arsenale, Paolo Barletta.

Langkah Arab Saudi memasuki pasaran kereta api mewah dilakukan ketika permintaan bagi kereta api berkelajuan tinggi dan pelayaran mewah terus meningkat di seluruh dunia.  

Berita mengenai projek Dream of the Desert didedahkan kira-kira enam tahun selepas pelancaran Kereta Api Ekspres Haramain yang beroperasi antara Mekah dan Madinah menerusi Jeddah.  

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAR, Bashar Khaled Al Malik berkata, beliau percaya Dream of the Desert akan menjadi kemajuan yang cukup signifikan kepada syarikatnya.

Katanya, kereta api itu akan menawarkan penduduk dan pengunjung peluang untuk mengembara ke lebih banyak wilayah negara itu dalam rangka kerja bersepadu perkhidmatan pengangkutan mewah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×