PETALING JAYA: Profesor Madya Fakulti Sains dan Kejuruteraan di University of Nottingham Malaysia (UNM), Dr. Ho Weang Kee telah diberikan anugerah Wellcome Trust Career Development Award (WTCDA) bernilai GBP £1.92 juta (RM11.3 juta).
Anugerah itu untuk membangunkan kaedah stratifikasi dan komunikasi yang inovatif bagi risiko kanser payudara dalam populasi Asia.
Anugerah yang kompetitif itu merupakan inisiatif Wellcome Foundation, pertubuhan amal berpangkalan di United Kingdom (UK) yang diasaskan pada 1936, bagi membantu meneroka penemuan baharu dalam bidang sains merentasi pelbagai disiplin.
Anugerah itu mengiktiraf dan menawarkan dana buat para penyelidik dalam pertengahan kerjaya mereka dengan potensi untuk menjadi peneraju dalam program penyelidikan antarabangsa.
Dihoskan bersama oleh University of Nottingham Malaysia (UNM) dan Cancer Research Malaysia, program penyelidikan lapan tahun itu ditujukan untuk menambah baik tahap kejituan model-model ramalan risiko kanser payudara berpaksikan faktor genetik dan persekitaran unik populasi Asia yang majmuk, serta untuk membangunkan kaedah-kaedah komunikasi risiko yang inovatif.
“Program penyelidikan lapan tahun dibiayai oleh Wellcome Trust Career Development Award merupakan yang pertama untuk Malaysia, diterajui oleh Profesor Madya Dr. Ho Weang Kee dan dianjur bersama oleh University of Nottingham Malaysia serta Cancer Research Malaysia,” menurut kenyataan bersama UNM dan Cancer Research Malaysia.
Jelasnya, menjelang Hari Antarabangsa Wanita Dalam Sains pada 11 Februari 2024, anugerah itu juga memberi peringatan dan meraikan sumbangan sains oleh dan untuk golongan wanita, serta mempamerkan bagaimana pembangunan saintifik yang saksama dapat membawa manfaat buat seluruh anggota masyarakat.
Menerusi anugerah tersebut, Dr. Ho bercadang untuk memperhalusi penilaian risiko kanser payudara dalam populasi Asia dengan membangunkan kaedah-kaedah inovatif berupaya untuk mengambil cerapan yang bernilai daripada data sedia ada dan yang mungkin kurang efektif dalam populasi yang terpinggir.
“Matlamat program penyelidikan 8 tahun ini mempunyai dua segi: untuk membangunkan dan menggunakan teknik statistik canggih bagi memanfaatkan data sedia ada dan yang kurang efektif untuk membangunkan model-model ramalan risiko penyakit bagi populasi yang kurang mendapat perhatian, serta untuk mengekstrak ciri-ciri pengimejan risiko penyakit bagi memudahkan visualisasi risiko.
“Rancangannya adalah untuk bermula dengan kanser payudara lalu meluaskan skop ke penyakit tidak berjangkit yang lain pada masa akan datang,” jelas beliau. – UTUSAN










