Affin Bank: Sarawak akan muktamad perjanjian dengan LTAT

Affin Bank: Sarawak akan muktamad perjanjian dengan LTAT

ABANG Johari Tun Openg dalam sidang akhbar sempena forum ‘Market Outlook: Propelling Malaysia Forward 2024’ di Menara Affin Bank, TRX di Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan); Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kiri), Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki (kiri) dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak akan memuktamadkan rundingan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk meningkatkan kepentingannya dalam Affin Bank Bhd. dalam masa terdekat.

Setakat 29 Disember 2023, Sarawak melalui Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.79 peratus saham dalam Affin Bank.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberitahu, cadangan pengambilalihan tersebut akan dimuktamadkan “dalam masa yang sangat terdekat.”

“Mengenai berapa peratus kepentingan yang akan dipegang oleh Kerajaan Negeri Sarawak, ia akan diumumkan kelak. Saya tidak boleh beritahu sekarang,” katanya kepada pemberita selepas Malaysia Market Outlook 2024 – Propelling Malaysia Forward di Menara Affin Bank, Tun Razak Exchange (TRX) di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah.

Abang Johari mengulas sama ada kerajaan negeri bakal memuktamadkan cadangan pengambilalihan itu.

Pemegang saham utama Affin Bank, LTAT dilaporkan telah berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk urus niaga terbabit.

Ketika ini, LTAT memiliki 28.78 peratus pegangan dalam Affin Bank manakala Boustead Holding Bhd. memiliki 20 peratus kepentingan.

Jelas Abang Johari, Sarawak ingin menambah kepentingan di dalam Affin Bank sehingga lebih 20 peratus, sekali gus menjadikannya pemegang saham utama.

Abang Johari berkata, pemilikan kepentingan di dalam bank itu penting bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta aktiviti perniagaan di Sarawak.

“Pemilikan bank bukan baharu kerana sebelum ini Kerajaan Negeri Sarawak pernah memiliki enam bank sebelum polisi aktiviti penggabungan dilaksanakan dengan bank-bank utama,” katanya.

Jelas beliau lagi, kepentingan di dalam bank juga berdasarkan kepada beberapa kepentingan utama.

“Kita akan mempunyai simpanan jika ada berlakunya krisis dan ia juga memberikan pulangan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, Wan Razly berkata, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas ia dimuktamadkan oleh kedua-dua belah pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×