PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berikutan transaksi berhati-hati oleh peniaga menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari 2024.
Pada pukul 9.10 pagi ini, ringgit menyusut kepada 4.7320/7360 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Jumaat pada 4.7275/7325, memetik laporan Bernama.
Menurut laporan itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pergerakan pasaran pada hari ini mungkin kekal agak lemah, kerana pelabur menunggu hasil mesyuarat FOMC.
Kata beliau, mesyuarat itu akan memberikan pandangan penting penilaian Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi yang pesat dan inflasi yang menyederhana, faktor kritikal dalam menentukan hala tuju dasar monetari.
“Dolar AS mungkin meneruskan aliran menaik, walaupun dengan sedikit kelembapan dalam momentum,” katanya.
Tambahnya, dengan laporan senarai gaji bukan ladang menaik pada Jumaat, pelabur tidak mungkin mendedahkan banyak modal mereka kepada risiko disebabkan masih terdapat ketidaktentuan dalam perkara tersebut.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound British kepada 6.0111/0161 daripada 6.0120/0183, dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1938/1968 daripada 3.1988/2024 pada penutup Jumaat lalu.
Ringgit susut berbanding euro kepada 5.1328/1371 daripada 5.1279/1333 sebelumnya.
Di peringkat serantau, mata wang tempatan itu didagangkan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia susut sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.5274/5306 daripada 3.5267/5307. Ia juga lebih rendah berbanding baht Thailand pada 13.2884/3056 daripada 13.2679/2879, dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.0/299.3 daripada 298.7/299.1 minggu lepas.
Sementara itu, ringgit hampir `mendatar’ berbanding peso Filipina pada 8.39/8.40 daripada 8.39/8.41 sebelumnya. – UTUSAN










