PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, melanjutkan kenaikan minggu lalu, didorong oleh sokongan belian berterusan untuk saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah sentimen positif pasaran serantau, menurut peniaga.
Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.15 pagi, FBM KLCI menambah 2.50 mata kepada 1,508.78, daripada penutup Jumaat lalu pada 1,506.28.
Indeks barometer dibuka 1.83 mata lebih baik pada 1,508.11.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 288 berbanding 178, manakala 337 kaunter tidak berubah, 1,485 lagi tidak diniagakan dan 64 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 476.69 juta unit bernilai RM220.03 juta.
Firma penyelidikan Malacca Securities berkata, minggu ini pasaran harus memerhati dengan teliti beberapa perkara seperti indeks pengurus pembelian pembuatan China, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan data pekerjaan di AS.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan sokongan belian akan dikekalkan dalam pasaran saham Malaysia. Di pasaran komoditi, minyak Brent terus meningkat lebih tinggi, kini berlegar di atas paras AS$83 setong, di tengah-tengah potensi pakej rangsangan China, ditambah pula dengan ketegangan yang berterusan di rantau Asia Barat,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. (Maybank) pada RM9.14 dan Public Bank Bhd. (RM4.37), kedua-duanya tidak berubah. CIMB Group Holdings Bhd. pula naik tiga sen kepada RM6.21, manakala Tenaga Nasional Bhd. susut dua sen kepada RM10.52, sementara Petronas Chemicals Group Bhd. turun satu sen kepada RM6.69.
Bagi saham aktif, Minetech Resources Bhd. menokok satu sen kepada 16.5 sen, Master Tec Group Bhd. pula menokok setengah sen kepada 39.5 sen, YNH Property Bhd. naik tiga sen kepada 74.5 sen, manakala Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) susut satu sen kepada 64 sen. – UTUSAN










