Peranan peguam dalam pembelian hartanah

Peranan peguam dalam pembelian hartanah

RUMAH berharga lebih RM500,000 terutamanya rumah di atas tanah semakin mendapat sambutan pembeli. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBELIAN hartanah bukan hanya satu transaksi, tetapi juga proses yang memerlukan kepakaran dan pemahaman mendalam tentang selok belok jual beli yang kompleks.

Bagi peguam yang bertanggungjawab, peranan mewakili pembeli hartanah amat penting kerana mereka memikul amanah anak guam untuk memastikan hartanah menjadi milik pembeli dan penjual menerima duit jualan.

Oleh itu, peguam memainkan peranan utama dalam memastikan transaksi hartanah berjalan lancar dan berjaya.

Minggu ini, Peguam Hartanah dari Tetuan Nazri Azmi Islinda, Datuk Nazri Mustafa berkongsi peranan utama yang dimainkan oleh peguam dalam proses pembelian hartanah.

 

  1. Nasihatkan mengenai terma dan syarat PJB

Sebagai langkah pertama, penting bagi peguam memberikan nasihat kepada pembeli mengenai terma dan syarat dalam perjanjian jual beli (PJB).

Kepelbagaian klausa-klausa kompleks perlu dijelaskan untuk memastikan pemahaman yang selaras antara semua pihak yang terlibat.

Kebanyakan pembeli adalah pembeli kali pertama dan tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian berkaitan jual beli hartanah.

 

  1. Temui pelanggan pecara peribadi

Memandangkan pembeli memerlukan nasihat dan makluman mengenai transaksinya daripada seorang peguam, pastikan peguam sendiri yang bertemu pelanggan secara langsung pada saat penting dalam pembelian hartanah.

Sebagai contoh, proses menandatangani perjanjian jual beli haruslah dihadiri oleh peguam pihak-pihak yang terlibat.

Tugas ini tidak seharusnya diserahkan kepada kakitangan sokongan firma guaman.

 

  1. Lakukan carian tanah sebelum bayar deposit

Kepastian mengenai status hartanah perlu menjadi keutamaan.

Peguam perlu memaklumkan keperluan dan menggalakkan pembeli untuk menjalankan carian tanah sebelum membayar deposit untuk memastikan hak milik bersih dari bebanan atau notis pengambilan tanah oleh kerajaan.

Sekiranya keputusan carian ada menunjukkan sesuatu yang menyebabkan hartanah tersebut tidak dapat dipindah milik seperti terdapat kaveat yang dimasukkan oleh pihak ketiga, peguam perlu memaklumkan anak guamnya dan juga pihak penjual.

Terdapat kos yuran carian dikenakan dan dibayar ke pejabat tanah berkenaan.

 

  1. Masukkan kaveat selepas PJB ditandatangani

Untuk melindungi kepentingan pembeli, penting bagi peguam untuk menggalakkan mereka memasukkan kaveat segera selepas PJB ditandatangani oleh pembeli dan penjual.

Pembeli telah membuat pembayaran deposit dan sudah wujud kepentingan boleh daftar (hak untuk menerima milik) pada ketika ini,  yang melayakkan pembeli memasukkan kaveat.

Ini memberikan perlindungan segera terhadap hak milik.

 

  1. Tidak mewakili kedua-dua pihak

Larangan ini berfungsi untuk mengelakkan konflik kepentingan.

Peguam perlu menghindari bertindak sebagai wakil kepada penjual dan pembeli.

Langkah ini penting untuk mengelakkan wujudnya konflik kepentingan apabila terdapat pertikaian.

Ini juga untuk menjaga kepentingan penjual sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau isu berkaitan transaksi.

 

  1. Menyerahkan dokumen

Peguam mesti mengembalikan dokumen asal atau salinan-salinannya kepada anakguam.

Dokumen ini penting untuk beberapa perkara di masa akan datang.

Oleh itu, sebelum sesuatu fail ditutup, peguam perlu memastikan surat kepada pelanggan serta dokumen-dokumen berkaitan diserahkan dan ditandatangani sebagai bukti penyerahan.

Tindakan ini bukan sahaja memenuhi tanggungjawab profesional tetapi juga melindungi hak dan kepentingan hartanah anak guam dan mencegah kemungkinan pertikaian pada masa hadapan.

Salinan suratan hakmilik  yang diserah hendaklah menunjukkan yang pindah milik dan/atau gadaian telah sempurna didaftarkan dan tertera di mukasurat dua atau tiga suratan hak milik berkaitan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×