MUAR: Walaupun reda dengan hukuman dikenakan kepada Mohammed Nazir Lep, 48, namun keluarga mengharapkan campur tangan kerajaan untuk membawanya balik menjalani hukuman di negara ini.
Abangnya, Najib Lep, 60, berkata, selepas terpisah sejak lebih 20 tahun lalu, harapan besar keluarganya dapat melihat tahanan Kem Guantanamo di Cuba itu dibawa balik, namun terpaksa pula berhadapan hukuman tambahan lima tahun lagi di kem itu.
“Mengenai ekstradisi ke Malaysia, saya tidak boleh jawab persoalan itu, tetapi saya dan keluarga sememangnya mengharapkan agar adik dapat jalani hukuman di negara ini. Kita masih berurusan dengan pihak di sana agar adik dapat dibawa pulang.
“Dalam hal ini, semua memainkan peranan terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN). Apa pun kita perlu tunggu kerana ada proses-proses yang perlu dilalui,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Juri tentera di kem Guantánamo kelmarin menjatuhkan hukuman penjara tambahan lima tahun ke atas dua rakyat Malaysia kerana bersubahat dalam pengeboman pengganas yang mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada 2002.
Juri lima pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) itu bersidang untuk memutuskan hukuman untuk tempoh 20 hingga 25 tahun.
Selepas bersidang selama kira-kira dua jam pada Jumaat, mereka memutuskan hukuman penjara 23 tahun.
Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep boleh dibebaskan menjelang 2029. Kedua-duanya ditahan di AS sejak musim panas 2003.
Laporan itu memetik peguam Mohammed Nazir, Brian Bouffard sebagai berkata: “Perjanjian pra perbicaraan mempertimbang kemungkinan penghantaran pulang beliau sebelum hukuman selesai.”
Beliau berkata, apabila balik ke Malaysia, mereka akan menjalani program deradikalisasi yang dikendalikan kerajaan Malaysia dan pemantauan seumur hidup oleh pihak berkuasa keselamatan negara. – UTUSAN










