PETALING JAYA: Kira-kira 400,000 rakyat Palestin di utara Gaza berdepan kebuluran melampau yang boleh membawa kepada kematian apabila bekalan gandum dan beras di kawasan tersebut sudah kehabisan stok sejak beberapa hari lalu.
Kesemua rakyat Palestin di kawasan tersebut kini hanya bergantung hidup termasuk dengan mengambil makanan haiwan seperti keldai dan burung serta rumput kering yang dikisar untuk mengisi perut masing-masing.
Lebih malang, kesemua mereka yang berada di utara Gaza dinafikan hak untuk mendapatkan bekalan makanan, air bersih dan barangan keperluan harian sejak 25 Oktober lalu apabila rejim Zionis mula melakukan kepungan di kawasan tersebut menyebabkan wilayah di negara Palestin berkenaan terbahagi kepada dua bahagian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Aqsa Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, keadaan di utara Gaza kini sudah semakin tenat kerana tiada langsung bantuan kemanusiaan berjaya memasuki kawasan tersebut sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, rakyat Palestin di kawasan tersebut hanya bergantung dengan memakan butir jagung iaitu baki stok bekalan makanan haiwan yang dikisar untuk mengalas perut bagi meneruskan kehidupan.
“Realiti kehidupan mereka di utara Gaza amat membimbangkan ketika ini lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak dan bayi baru lahir. Keadaan tersebut berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan kes kematian membabitkan rakyat Palestin tidak lama lagi.
“Gencatan senjata dan penghantaran bantuan kemanusiaan segera amat diperlukan bagi mengatasi masalah kebuluran tersebut jika tidak hanya malapetaka menanti mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Gaza kini terbahagi kepada dua bahagian sejak Israel melancarkan serangan terhadap wilayah Palestin tersebut pada 7 Oktober tahun lalu, iaitu utara membabitkan Kota Gaza, Jabalia, Beit La Haya dan Beit Hanoun manakala di selatan merangkumi Khan Younis serta Rafah.
Sementara itu,Eksekutif Perhubungan Awam Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, kekejaman Israel terus memuncak apabila dianggarkan lebih 20 rakyat Palestin di utara Gaza yang sedang mendapatkan bantuan bekalan kemanusiaan ditembak mati.
Menurutnya, serangan mengejut menggunakan kereta kebal, helikopter dan dron itu dilakukan bertujuan untuk menyasarkan rakyat Palestin di kawasan tersebut.
“Serangan sedemikian banyak tertumpu di kawasan utara Gaza yang cuba dikuasai Israel sejak tiga bulan lalu. Mereka menggunakan strategi kebuluran untuk meningkatkan tekanan kepada mujahidin.
“Serangan tersebut tidak dilakukan secara besar-besaran namun cukup untuk mendatangkan kematian pada masa sama memberi gambaran kepada rakyat Palestin lain begitulah nasib mereka jika berada di tempat terbuka,” katanya. – UTUSAN










