UOB Malaysia lancar program hutang Islam sulungnya 

UOB Malaysia lancar program hutang Islam sulungnya 

UOB Plaza 1 Kuala Lumpur
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia menubuhkan program hutang Islam sulungnya berjumlah RM5 bilion di bawah prinsip Syariah Wakalah Bi AlIstithmar.

Menurut kenyataannya, UOB Malaysia telah membuat penetapan harga pertama nota jangka sederhana Islam subordinat Tahap 2 selaras dengan keperluan Basel III bernilai RM500 juta (Sukuk Wakalah Tahap 2).

Sukuk Wakalah Tahap 2 ini akan matang pada Februari 2034 dan boleh panggil pada Februari 2029.

UOB Malaysia berkata, dalam proses penetapan harga, tawaran hutang Islam mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pasaran dan mencapai lebihan langganan kira-kira 3.39 kali.

Buku pesanan akhir sebanyak RM1.7 bilion membolehkan UOB Malaysia menutup pada kadar keuntungan tetap 4.01 peratus setahun.

Dengan 45 mata asas melebihi penanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), ini merupakan tebaran paling ketat yang pernah dicatat untuk instrumen modal Tahap 2 dalam pasaran ringgit sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbangga bahawa tawaran Sukuk pertama syarikat diterima dengan baik oleh pasaran.

“Lebihan langganan serta harga ketat yang dicapai menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap kedudukan kewangan UOB Malaysia yang mantap.

“Permintaan kukuh ini juga menunjukkan kecairan dalam pasaran modal hutang tempatan dan keteguhannya dalam menyokong keperluan pembiayaan syarikat korporat tempatan,” katanya.

Tambahnya, sejumlah 42 pelabur berkualiti tinggi termasuk syarikat insurans, pengurus dana, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, bank dan bank swasta telah melanggan tawaran ini.

Jelasnya, Sukuk Wakalah Tahap 2 ini telah menerima penarafan AA1 oleh RAM Rating Services Berhad, menekankan keteguhan profil kredit UOB Malaysia.

“Terbitan ini dijadualkan pada 8 Februari 2024 dan layak sebagai Modal Tahap 2 secara disatukan UOB Malaysia, mematuhi Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) untuk bank-bank Islam oleh Bank Negara Malaysia,” ujarnya.

CIMB Investment Bank Berhad dan UOB Malaysia bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama bagi urus niaga ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×