PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membentuk kerjasama strategik dengan utiliti tenaga milik kerajaan China untuk merevolusi Grid Tenaga ASEAN (APG) melalui teknologi terkini arus terus voltan tinggi (HVDC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, langkah strategik ini mencerminkan komitmen TNB sebagai pemimpin tenaga serantau dalam mengembangkan solusi tenaga Lestari.
Katanya, teknologi HVDC penting dalam kalangan negara ASEAN demi kelicinan perdagangan tenaga, perkongsian sumber dan integrasi tenaga boleh diperbaharui (TBB).
“TNB berada di barisan hadapan dalam memimpin inisiatif tenaga lestari di rantau ASEAN.
Usaha meneroka teknologi HVDC menjadi bukti teguh komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian.
“Kesalinghubungan menggunakan teknologi HVDC akan memberikan manfaat kepada perdagangan tenaga, perkongsian sumber dan integrasi TBB dalam kalangan kejiranan negara ASEAN.
“Maka, kami sedang dalam pertimbangan untuk bekerjasama dengan utiliti tenaga milik kerajaan China,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, potensi kerjasama dalam projek HVDC ini dirangka secara strategik untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman China dalam pembangunan projek HVDC yang kompleks di republik itu dan global.
Menurutnya, perkara tersebut menjadi penanda aras pertumbuhan serta bukti dedikasi TNB dalam meluaskan sempadan kelestarian dan inovasi teknologi.
“Sebagai pendukung utama APG, TNB memperakui peranan penting kesalinghubungan serantau dalam langkah komprehensifnya melaksanakan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.
“Justeru, TNB telah menandatangani lima memorandum persefahaman dengan negara-negara jiran, menumpukan kepada aspek kesalinghubungan dan penjanaan TBB,” ujarnya.
Selain itu, Baharin menegaskan bahawa peningkatan permintaan tenaga dari pusat data, bersama dengan inisiatif Grid Masa Depan (GoTF), menjadi pendorong utama revolusi APG.-UTUSAN










