TELUK INTAN: Berbaju baharu sudah sinonim setiap kali hari raya namun sebenarnya ramai juga yang memilih pakaian terpakai atau bundle khususnya seluar jeans untuk digayakan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ini diakui seorang tukang jahit pakaian di sini, Zamri Darman, 56, yang banyak menerima tempahan ubah suai menjahit seluar jeans bundle sejak kebelakangan ini malah ada yang memberitahu ia adalah seluar untuk hari raya nanti.
Zamri berkata, mengubah suai seluar jeans bundle semakin menjadi trend dan meningkat menjelang hari raya.
Katanya, pelanggan mengubah suai jeans yang dibeli daripada bundle memberitahu, mereka menggemari seluar terpakai kerana ia adalah seluar jenama terkenal dan asli.
“Mereka yang menempah untuk ubah suai jeans ini adalah penggemar kepada jeans original yang pada mereka selesa dipakai dan lebih murah.
“Antara yang diubah suai ialah memotong bahagian kaki seluar, menukar zip dan mengecilkan saiz seluar mengikut ukuran yang sesuai. Bagi mereka walaupun ia jeans terpakai, namun apabila sudah diubah suai, ia memberi kepuasan kepada pemakainya,” katanya.
Menurut Zamri, jumlah tempahan pelanggan yang mengubah suai seluar jeans terpakai semakin meningkat sejak kebelakangan ini walaupun Aidilfitri hanya disambut pada April.
Katanya, pelanggan membuat tempahan ubah suai lebih awal kerana tidak mahu menunggu saat akhir menjelang Hari Raya.
“Jika bukan menjelang perayaan pun, ramai pelanggan yang meminta ubah suai jeans, bukan sahaja dari kalangan pelanggan Melayu tetapi daripada kaum lain serta masyarakat Orang Asli dari Kampung Pahlawan di Langkap,” katanya. – UTUSAN










