ISTIADAT perkahwinan Diraja Brunei bagi pasangan pengantin, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam sudah lebih seminggu berlalu, namun kemeriahan acara gilang-gemilang itu masih diperkatakan hingga kini.
Antara yang menjadi tumpuan ialah tiga persalinan menawan sentuhan pereka muda berbakat besar negara, Teh Firdaus atau nama sebenarnya Muhammad Firdaus Awang Teh, 33.
Beliau mengambil masa sebulan menghasilkan baju kurung pada majlis khatam al-Quran di samping busana
akad nikah.
Baju kurung bagi istiadat berbedak mandi pula mengambil masa dua bulan untuk disiapkan kerana menuntut lebih banyak kerja-kerja tangan.
“Ketiga-tiga persalinan itu memiliki kriteria potongan simple dengan perincian kemas dan minimal.
“Bagaimanapun, saya sangat menitikberatkan keselesaan fabrik dan memperkenalkan beberapa variasi sutera seperti Moroccan crepe, satin, sifon dan renda Perancis pada busana Baginda,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Lulusan rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar ini mula mengasaskan jenama Teh Firdaus sejak 2018 lagi.
Busana sentuhannya menjadi pilihan ramai selebriti tempatan seperti Mira Filzah, Zahirah Macwilson, Raysha Rizrose, Elisya Sandha, Yaya Zahir dan Adriana Adnan pada hari bahagia mereka.
GEMENTAR TERIMA TUGASAN BESAR
Walaupun pertama kali menghasilkan persalinan untuk pengantin Diraja Brunei, namun Muhammad Firdaus pernah menyiapkan beberapa helaian buat kerabat Diraja Perak dan Selangor sebelum ini.
Tanpa berselindung beliau mengakui agak gementar apabila diamanahkan tugasan besar itu.
“Tetapi, Alhamdulillah semua berjalan lancar. Saya bersyukur dengan maklumbalas positif daripada rakyat Malaysia dan berbangga kerana sedikit sebanyak dapat mengharumkan nama negara.
“Terima kasih kepada pasangan pengantin Diraja Brunei kerana memilih saya untuk menyiapkan tiga persalinan dan semoga mahligai perkahwinan Tuanku kekal ke akhir hayat,” katanya.

DISANGKA DARI INDONESIA
Dalam pada itu, Muhammad Firdaus berkongsi kisah lucu yang menyangka beliau berasal dari Indonesia.
Hal itu kerana, nama Teh yang sinonim dengan panggilan masyarakat Sunda di negara berkenaan.
“Ramai pengikut Indonesia beranggapan begitu tetapi saya orang Malaysia berasal dari Kedah,” ujarnya yang turut berharap dapat menghasilkan lebih banyak karya hebat untuk pasangan mempelai sekali gus mengharumkan lagi nama Malaysia di persada dunia pada masa akan datang.
BUNGA DAN KISAH 500 JAM CALVIN THOO
Sementara itu, elemen bunga 3D buatan tangan menjadi pilihan pereka tempatan, Calvin Thoo dalam penghasilan kira-kira lapan busana buat kalangan kerabat yang hadir ke Istiadat Perkahwinan Diraja
Brunei.
Antara mendapat sentuhannya ialah bonda dan anakanda Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah iaitu, Toh Puan Seri Nur Rahmah Mohd. Zain dan Tengku Fatimatuz Zahra’.
Persalinan berkenaan digayakan pada Majlis Santapan Diraja Pengantin Diraja Brunei.

Beliau turut menghasilkan busana buat bonda saudara Putera Mateen, Pengiran Anak Puteri Amal Jefriah.
“Persalinan Tengku Fatimatuz Zahra’ yang berwarna biru misalnya mengambil masa kira-kira 500 jam untuk disiapkan atau bersamaan 10 hari dengan tenaga kerja seramai 10 orang.
“Rekaan ini paling rumit kerana manik-manik dijahit pada seluruh busana yang menggunakan fabrik renda
Perancis,” katanya.










