PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat bagi membuktikan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
Bekas Perdana Menteri itu juga menafikan beliau terbabit dalam mencipta ketidakstabilan politik selama ini seperti yang kerap dicanang oleh Anwar.
“Ia terpulang kepada anda (wartawan) untuk memberi tanggapan sebegitu. Tetapi ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya menang pilihan raya selama lima penggal dengan majoriti dua pertiga.
“Rakyat boleh menyingkirkan saya ketika itu jika saya ada melakukan kesalahan, tetapi ia tidak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini semalam.
Katanya, Anwar menjadi Perdana Menteri bukan kerana dipilih dalam pilihan raya sebaliknya secara kebetulan.
Tetapi katanya, apabila Anwar menjadi Perdana Menteri, beliau menggunakan kuasa untuk mengugut orang malah, dalam soal mentadbir negara dia langsung tiada idea bagi menangani isu ekonomi dan sosial.
Ditanya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anaknya, Mirzan merupakan satu tindakan dendam, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pasti mengenai perkara itu tetapi hairan kenapa anaknya disiasat.
Namun beliau percaya tindakan itu lebih kepada untuk membongkar segala kesalahan yang didakwa dilakukannya selama ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan, Mirzan telah diminta oleh SPRM untuk mendedahkan segala kesalahan beliau ketika dalam tampuk pemerintahan.
Katanya, adalah tidak masuk akal bagi SPRM meminta anaknya mengumpulkan segala bukti dan transaksi sejak dari 1981 hingga sekarang dalam tempoh 30 hari.
Dr. Mahathir berkata, beliau mahu SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan dan menuduhnya di mahkamah bukannya dengan mencari anaknya.
“Tuduh aya supaya saya boleh pertahan diri. Tetapi sekarang ini tiada apa-apa berlaku. Tiba-tiba cari anak saya, suruh anak saya buat kenyataan supaya saya ternampak salah,” katanya.
Dr. Mahathir juga menyangkal kenyataan Anwar bahawa siasatan berhubung rasuah dan salah guna terhadap tokoh yang bergelar Tun adalah sukar.
Mengambil dirinya sebagai contoh, beliau mengakui dia adalah individu yang mudah untuk disiasat memandangkan tidak lagi mempunyai kuasa.
“Golongan yang paling sukar untuk disiasat di negara ini adalah mereka yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, malah Ketua Pesuruhjaya SPRM,” ujarnya.
Dr. Mahathir juga mahu pihak berkuasa menyiasat akuan berkanun (SD) bekas Penolong Gabenor Bank Negara (BNM) pada 1999 mengenai dakwaan Anwar ketika itu memiliki RM3 bilion dalam lebih 20 akaun bank.
“Ia dinyatakan secara terperinci dalam SD itu. Saya nak tahu kenapa tak siasat,” ujarnya. – UTUSAN










