PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghentikan segera kerenah birokrasi lama dan membenarkan universiti awam membuat keputusannya sendiri bagi menentukan keutamaan masing-masing.
Perdana Menteri berkata, KPT perlu memberikan ruang selain membenarkan pihak pengurusan universiti untuk membuat beberapa keputusan tertentu bagi meneruskan program masing-masing.
Menurutnya, ketetapan itu bertujuan membolehkan prestasi universiti awam berkembang dan menyumbang kepada wacana pendidikan pada masa hadapan.
“Saya sebelum ini sudah mengarahkan KPT memberi universiti awam ruang untuk menentukan keutamaan masing-masing. Justeru, sistem lama dan amalan birokrasi di mana kementerian membuat keputusan bagi pihak universiti mesti diakhiri sekarang.
“Perkara ini dibangkitkan kerana ia memerlukan tindakan segera, selain menyedari yang kita akan tertinggal dalam beberapa bidang jika selesa dengan amalan sedia ada,” katanya
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan The Next 100 Years: Vision 2100 for Malaysia di Universiti Malaya, semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan pada minggu lalu dilaporkan berkata, kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberi ruang dan kelonggaran untuk mewujudkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan IPT negara mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau dan dunia sekali gus melahirkan mahasiswa berdisiplin serta berkualiti tinggi.
“KPT hanya harus selaraskan (program) bagi mengelakkan apa-apa pertindihan atau permasalahan, tapi beri lebih banyak ruang kepada universiti, lihat lebih banyak program yang lebih baik, kalau tidak kita ubah kepimpinan (IPT),” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula pelaksanaan sistem prasekolah bagi memastikan jurang antara kawasan pedalaman, desa dan kota tidak melebar.
Jelasnya, tahun ini, dengan peruntukan terbesar diberikan kepada KPM, kerajaan mahu kemudahan prasekolah ditambah untuk semua sekolah di seluruh negara.
“Gesaan saya dalam tempoh singkat, pastikan tahun ini kita menyediakan kemudahan tambahan supaya peluang prasekolah dikendalikan KPM diberikan kepada semua pelajar.
“Dalam belanjawan Madani, bidang pendidikan mendapat peruntukan terbesar, sebab itu sekali lagi kita gunakan peruntukan itu untuk keperluan asas. Tahun lalu, kita peruntukkan RM1 bilion hanya untuk membaiki tandas, yang mana sebanyak 8,600 tandas daif dikesan di sekolah,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sebelum fokus kepada usaha mengangkat pendidikan tinggi diutamakan, perkara asas dan pendidikan rendah juga perlu diberikan perhatian. – UTUSAN










