PETALING JAYA: Impak cukai-cukai baharu yang akan dan bakal dilaksana tahun ini dilihat masih kabur di sebalik unjuran kerajaan mahu meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Muhammad Amirul Razali berkata, cadangan cukai baharu memerlukan pertimbangan yang teliti sebelum dilaksana kerana berisiko memberi kesan kepada rakyat jika tidak direka dengan teratur.
Menurut beliau, kerajaan harus mencapai keseimbangan antara ekuiti, pertumbuhan dan kemampanan supaya cukai tidak menjadi rangkaian polemik pada masa akan datang.
“Sistem cukai yang ideal hendaklah adil, cekap dan mampan bagi menjana hasil yang mencukupi sambil menggalakkan pertumbuhan ekonomi demi kebaikan rakyat,” kata beliau.
Oleh itu kata beliau, sebelum memperkenalkan apa-apa cukai, kerajaan harus telus dan mengadakan dialog terbuka dan menganalisis baik buruknya sesuatu cukai itu.
CUKAI_CUKAI
Beberapa pihak sebelum ini dilaporkan masih keliru mengenai cukai-cukai baharu khususnya berhubung pelaksanaan dan impaknya terhadap negara dan rakyat.
Semalam, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkongsi di media sosial yang memaparkan senarai cukai baharu tahun ini beserta kenyataan ditulis secara sinis menyebut ‘Ekonomi Madani’.
Antara cukai yang dilaksanakan bulan ini ialah Cukai Barang Nilai Rendah (LVGT) 10 peratus bagi platform jualan dalam talian (e-dagang), cukai keuntungan modal 10 peratus dan kenaikan tarif elektrik lima peratus bagi golongan berpendapatan sederhana (M40).
Perkongsian Isham mencetus perbualan awam dengan apa yang dianggap sebagai ‘terlalu banyak’ di sebaliknya kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan mahu menurunkan kadar cukai.
Mengulas lanjut, Muhammad Amirul tanpa menyebut cukai tertentu berkata, kesan cukai-cukai baharu bergantung kepada beberapa faktor antaranya perbelanjaan sasaran iaitu hasil tambahan mesti disalur secara berkesan ke dalam pelaburan produktif, yang merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan tahap perkhidmatan awam.
“Kerajaan harus menumpukan kepada infrastruktur, pendidikan dan program kebajikan sosial yang boleh menghasilkan faedah jangka panjang. Pemulihan ekonomi dan kemampanan jangka panjang Malaysia memerlukan pendekatan dinamik dan boleh disesuaikan dengan dasar cukai,” katanya.
BERFAEDAH
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, tidak semua pelaksanaan cukai berkesan atau berfaedah.
Menurut beliau, ini kerana sistem cukai yang berlebihan atau direka dengan tidak sistematik tanpa mendapat maklum balas umum boleh menyekat pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan menimbulkan beban pentadbiran.
Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan cukai yang berkesan memerlukan pertimbangan menyeluruh bagi memastikan sistem yang adil dan cekap sekali gus memenuhi keperluan kerajaan rakyat.
“Sebab itu, kepentingan pelaksanaan cukai terletak pada peranan pentingnya dalam membiayai perkhidmatan penting, menggalak pertumbuhan dan kestabilan ekonomi, menggalak warganegara yang bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, saya percaya cukai penting bagi membiayai perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan,infrastruktur, pertahanan negara dan program kebajikan sosial. Tanpa cukai, perkhidmatan penting ini sama ada kekurangan pembiayaan yang mencukupi atau tidak tersedia sama sekali,” katanya. – UTUSAN










