SINI bercakap tentang AI (kecerdasan buatan), sana bercakap tentang AI, di mana- mana sahaja kita mendengar tentang teknologi ini sehingga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama negara menawarkan Fakulti AI supaya sistem pendidikannya tidak ketinggalan akibat ledakan transformasi digital global.
Dalam masa sama kerajaan menyasarkan sejuta rakyat akan mengikuti program literasi AI selama empat jam, hingga hujung tahun ini. Namun di sebalik hampir semua daripada kita berlumba-lumba ‘mendekati’ dunia AI yang bunyinya begitu gah, kita mungkin terlupa teknologi ini turut mengundang bala bencana yang amat teruk sekiranya seseorang itu gagal menilai kebaikan atau keburukannya.
Ya, inilah yang menjadi kerisauan pihak berkuasa, kedutaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam memerangi penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan perkara ini, saya seolah tidak percaya memandangkan ia kedengaran tidak logik dan susah sangatkah rakyat Malaysia terutama anak muda yang sentiasa memegang telefon pintar di tangan untuk membuat sedikit penyelidikan bagi memastikan sesuatu tawaran itu benar-benar wujud atau ia sekadar penipuan. Tetapi sangkaan saya silap, ramai rupanya yang sangat mudah ‘termakan’ janji-janji manis iklan yang ditawarkan di media sosial, lagi-lagi apabila melibatkan tawaran pendapatan yang tinggi dan wanita cantik. Ia tidak masuk akal. Mudahnya kita tertipu demi mengejar kekayaan dan nikmat dunia semata-mata.
Berbalik kepada isu penyeludupan dan jenayah ini sudah menjadi ‘beban’ kepada kerajaan dan MHO memandangkan terlalu sukar untuk menoktahkan aktiviti jahat ini. Inilah yang menjadi cabaran buat MHO, apabila modus operandi jenayah ini bertukar-tukar bagi menyukarkan pihak berkuasa mengesan aktiviti mereka.
“Sekarang ini menurut kajian lapangan, kita dapati sindiket tidak lagi menggunakan umpan pekerjaan dengan gaji lumayan tetapi menggunakan teknik baharu seperti mereka menggunakan wanita cantik dan kaya secara teknologi AI untuk memperdaya mangsa-mangsa datang ke Thailand.
“Kebanyakan mangsa adalah lelaki Malaysia bila nampak wanita cantik, kaya, mereka pergi Bangkok dan apabila sampai di sana, mereka akan diculik, diperdaya dan ditipu untuk dibawa masuk ke Laos.
“Kedua, melalui tawaran percutian menarik di Phuket, Pattaya dan Krabi secara percuma. Mangsa apabila tiba di lokasi yang ditentukan akan diculik dan turut dibawa ke Laos,” dedah Hishamuddin ketika dihubungi Utusan Malaysia.
LAOS
Sebelum ini kita acapkali mendengar aktiviti jenayah ini berpusat di Myanmar tetapi sejak kebelakangan ini, modus operandi mereka telah beralih ke Laos disebabkan faktor peperangan sivil di Tachileik dan Myawaddy.
“Sindiket mula mengemas barang mereka seperti komputer untuk masuk ke Laos melalui Thailand. Sebab itu pihak berkuasa Thailand ketika ini bersiap siaga sekiranya nampak mana-mana unsur perpindahan melalui laluan tikus, mereka akan buat tangkapan.
“Penjenayah kini menjalankan modus operandi di Special Economic Zones (SEZs), kawasan Segi Tiga Emas, dekat Laos yang menjadi sarang kasino dan perjudian. Kawasan ini dikawal sepenuhnya oleh China sehingga menggunakan mata wang Yuan untuk aktiviti di sini, termasuk perkhidmatan teksi. Jika dilihat kawasan ini seolah-olah dibangunkan oleh China tetapi saya tahu pasti bukan kerajaan China, mungkin pelabur China yang gunakan bagi tujuan kasino, perjudian dan scam,” jelasnya.
Kata Hishamuddin lagi, kes paling dasyat dan terbaharu apabila MHO berjaya menyelamatkan enam orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.
“Kita bawa mereka ke sebuah hotel tetapi oleh kerana pihak berkuasa di sana yang agak korup menyebabkan aktiviti menyelamat mangsa bertukar menjadi kes menculik. Ini kerana ketua sindiket menggunakan pihak berkuasa untuk menculik semula keenam-enam mangsa yang telah diselamatkan pihak kami.
“Kita menggunakan jaringan yang ada untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa memandangkan mangsa-mangsa ini sudah berada di Laos hampir setahun,”katanya. Dan untuk tahun ini MHO akan terus mempergiatkan usaha untuk memerangi penyelewangan dan penyeludupan manusia dan membanteras kes penipuan dalam negara sama ada pelaburan, umrah dan apa sahaja penipuan yang melibatkan kerugian kewangan.
“Kita akan ambil tindakan dengan memberi tekanan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan pelbagai pihak lain yang berkaitan penipuan kewangan.
“Sementara bagi penyeludupan manusia, kita masih lagi meneruskan komitmen untuk memberi lebih kesedaran kepada seluruh masyarakat Malaysia supaya tidak tertipu dan dibawa masuk menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berisiko seperti Kemboja, Laos dan Myanmar.
“Selain itu, misi kita adalah untuk menyelamat seramai mungkin mangsa yang terperangkap, terpedaya dan diperdagangkan untuk menjadi buruh paksa di negara-negara tadi. Secara puratanya kita bawa balik 10 hingga 20 orang sebulan ke Malaysia,” jelasnya.
Justeru, MHO berpendapat perlunya menjalin kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis ASEAN, Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), kedutaan negara-negara terlibat dan juga Wisma Putra bagi mengekang jenayah ini sebelum ia ‘tidak boleh diubati’.
“Cuma usaha-usaha itu perlu diteruskan di peringkat kedutaan. Kita berharap mempunyai hubungan yang baik dengan kedutaan Laos, Myanmar dan Kemboja kerana sekiranya ada hubungan baik secara keseluruhan, saya yakin lebih ramai mangsa yang terperangkap boleh dibawa pulang,” katanya mengakhiri perbualan.
Bagi yang sedang mencari pekerjaan atau berniat untuk ‘healing’ di Phuket, Pattaya dan Krabi, berjaga-jagalah, jangan mudah termakan janji manis iklan kerana ia boleh memakan diri sendiri.
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










