Pengeluaran tidak stabil, harga MSM dijangka meningkat

Pengeluaran tidak stabil, harga MSM dijangka meningkat

PENGELUARAN MSM Malaysia dijangka pada 18.75 juta tan tahun ini, meningkat satu peratus dari tahun lepas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka meningkat pada 2024, didorong pengeluaran yang tidak stabil walaupun permintaan meningkat untuk biodiesel.

Memetik laporan Reuters, kenaikan permintaan dilihat mengimbangi kesan pengeluaran minyak saingan (minyak selain MSM) yang lebih tinggi.

“Eksport minyak sawit Indonesia dijangka turun sekitar empat peratus kepada kira-kira 29 juta tan metrik tahun ini apabila penggunaan domestik meningkat dengan pengadunan biodiesel berasaskan minyak sawit mandatori sebanyak 35 peratus,” kata Persatuan Mi­nyak Sawit Indonesia (Gapki), jelas laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, Indonesia dan Malaysia dijangka melihat sedikit impak kepada pengeluaran daripada cuaca kering El Nino yang bermula pada separuh kedua 2023.

Pengeluaran MSM di negara pengeluar terbesar dunia, Indonesia diramalkan meningkat 0.6 peratus kepada 48.87 juta tan tahun ini, menurut satu tinjauan.

Pengeluaran Malaysia pula dilihat pada 18.75 juta tan, meningkat satu peratus dari tahun lepas, memandangkan keadaan buruh bertambah baik di negara pengeluar ke­dua terbesar minyak sawit dunia itu.

“Kekurangan buruh masih menjadi masalah utama, tetapi ia menjadi kurang ketara. Akibatnya, syarikat menjadi lebih bersedia untuk menanam, seterusnya meningkatkan pengeluaran,” kata Julian Conway McGill, ahli ekonomi di Glenauk Economics.

Dalam pada itu, minyak sawit bersaing dengan minyak soya, minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi. Lantunan semula dalam bekalan minyak soya, terutamanya dari Amerika Selatan, bersedia untuk memberikan saingan se­ngit kepada minyak sawit pada tahun ini.

Permintaan untuk minyak sawit boleh menjadi lemah pada separuh pertama kerana premium soya berbanding minyak sawit dijangka jatuh berikutan peningkatan dalam penghancuran kacang, dengan bekalan Amerika Selatan dijangka meningkat sebanyak 11 peratus, menurut Aditya Jeripotula dari Penyelidikan Komoditi Global.

“Penggantian daripada mi­nyak lain berkemungkinan akan mengurangkan permintaan minyak sawit global, termasuk daripada industri sebanyak dua hingga tiga peratus,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×