GUA MUSANG: Seekor gajah betina menceroboh ke kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pukul 11 malam itu, gajah liar dianggarkan setinggi dua meter itu merosakkan pagar dan pokok pisang di kawasan sekolah.
Guru Besar SK Pasir Linggi, Mat Ail Ibrahim, 53, berkata, kejadian menceroboh kawasan sekolah itu pertama kali berlaku tetapi tiada yang cedera.
Menurut beliau, dia menyedari kemunculan gajah liar terbabit apabila terdengar bunyi bising berhampiran rumahnya.
“Guru dan pekerja takut dan bimbang gajah akan merosakkan kenderaan atau rumah guru kerana gajah yang kami lihat pada malam tersebut besar.
“Gajah itu berlegar-legar dalam kawasan sekolah dan kami meminta bantuan Tok Batin Orang Asli suku kaum Bateq untuk menghalau gajah tersebut,” katanya.
Mat Ail memberitahu, gajah itu akhirnya berjaya dihalau keluar dari kawasan sekolah kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, difahamkan, sebanyak lima ekor gajah liar berkeliaran di kawasan kampung, tetapi hanya seekor yang masuk ke kawasan sekolah.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) SK Pasir Linggi, Tuan Almadi Tuan Kasim, 50, pula berkata, kejadian itu pertama kali dilihatnya sejak bertugas di kawasan tersebut sejak lima tahun lalu.
Katanya, kesan kerosakan pokok pisang dan pagar sekolah dapat dilihat dengan jelas pada keesokan harinya.
“Laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kami berharap tindakan lanjut dapat dilakukan,” katanya. – UTUSAN










