Tiga minggu bersihkan rumah terkesan banjir - Utusan Malaysia

Tiga minggu bersihkan rumah terkesan banjir

NURASHAH Jaffar (kanan) dan adiknya, Siti Rohani membersihkan perabot rumah di Kampung Kelantan, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Meskipun banjir surut sejak lima hari lalu namun kerja-kerja membersihkan rumah menjadi cabaran bagi mangsa bencana alam itu.

Seorang penduduk Kampung Kelantan, Nurashah Jaffar@Ahmad, 36 berkata, semalam merupakan hari ketiga mereka sekeluarga membersihkan rumah, namun belum siap.

Kebiasaannya, mereka akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk membersihkan kediaman.

“Dua hari kami tumpu bersihkan dalam rumah ke­rana lumpur setebal satu inci memenuhi seluruh ruang selepas air banjir setinggi paras dada memasuki kediaman. Hari ketiga baru kami tumpu pembersihan di luar rumah, basuh kerusi, tilam dan peralatan yang sempat diselamatkan.

“Kami buat anak beranak sambil dibantu adik beradik dan biasanya akan ambil masa satu ke dua minggu untuk bersihkan semuanya. Memang itulah yang terpaksa kami hadap setiap kali dilanda banjir,” katanya ketika ditemui.

Nurashah berkata, banjir kali ini kedua terburuk selepas banjir besar melanda Kota Tinggi pada 2006 dan 2007.

Jika ketika itu hanya kelihatan bumbung rumah, namun kali ini air naik melebihi jangkaan menyebabkan ba­nyak barang yang sudah dile­takkan di tempat tinggi turut terkesan.

“Tahun lepas pun banjir juga tapi paras pinggang. Tahun ini agak teruk. Barang dalam stor disimpan di tingkat dua yang biasanya selamat pun terjejas. Peti ais, mesin basuh yang kami sudah tinggikan juga tergolek jatuh selepas rumah dimasuki air. Tidak tahulah boleh dibaiki atau tidak kali ini kerana sudah masuk tiga kali terkena banjir kami berjaya hantar baiki,” katanya.

Sejak dilanda banjir secara mengejut tahun lepas, keluarganya sudah tidak lagi membeli kelengkapan rumah seperti sofa dan sebagainya kerana sering me­ngalami kerugian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×