Hapus rasuah agenda tepat menuju reformasi institusi - Utusan Malaysia

Hapus rasuah agenda tepat menuju reformasi institusi

PADU perlu lebih mesra pengguna yang mahu mendaftar PADU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu rasuah menjadi keutamaan Kerajaan Perpa­duan dalam melakukan reformasi institusi kerana isu tersebut memberi kesan menyeluruh kepada sistem perundangan lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan reformasi institut dengan isu rasuah adalah betul.

“Memang banyak dijanjikan Anwar sebelum jadi Perdana Menteri mengenai reformasi institusi, perundangan, kebebasan bersuara dan rasuah.

“Dan saya faham mengapa Datuk S. Ambiga tidak berpuas hati kerana Anwar hanya beri perhatian kepada isu rasuah.

“Tetapi bagi saya ini isu utama perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum reformasi perundangan, kehakiman dan reformasi politik,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen, William Leong Jee Keen berkata, semua reformasi institusi yang terlibat perlu diperhalusi.

INSTITUSI

Oleh itu, William mempersoal kenyataan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0), Ambiga ko­nonnya reformasi institusi kerajaan perlahan tidak betul.

Menurut Azmi, tumpuan Anwar membabitkan masalah akar umbi sebelum reformasi bidang lain boleh diteruskan.

“Perhatian Anwar mengenai rasuah adalah akar umbi masalah kita. Apabila rasuah itu berleluasa berpuluh tahun, ia (rasuah) telah menyerap ke dalam sistem kita,” kata beliau.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, kerajaan tidak boleh mengambil masa lama untuk melakukan reformasi institusi.

“Kalau tidak boleh dilakukan semuanya, boleh difokuskan kepada reformasi institusi dalam bidang-bidang tertentu yang bersifat strategik dan pen­ting, seperti reformasi institusi badan perundangan dan Parlimen,” katanya.

Selain itu, katanya, reformasi institusi kerajaan berkaitan ra­suah dan penyalahgunaan kuasa penting dan mesti dilaksanakan terlebih dahulu berbanding dengan bidang-bidang lain.

Kata beliau, pelaksanaan itu boleh menjamin keadilan dan ketelusan demi mengelakkan kezaliman dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan oleh mana-mana pihak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×