LANGKAWI: BDB Land Sdn. Bhd. (BDB Land), anak syarikat penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Enfiniti Escapes (M) Sdn. Bhd. bagi pembangunan dalam sektor eko-pelancongan.
Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, kedua-dua pihak merancang untuk membangunkan forest chalet atau pembangunan berkonsepkan eko-pelancongan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, di sini.
Menurutnya, pembangunan tersebut melibatkan kawasan seluas 10 ekar di Darulaman Sanctuary di mana BDB Land akan menjalankan kajian pelan ukuran terperinci di atas kawasan yang akan dikenalpasti untuk dibangunkan.
“Pihak Enfiniti Escapes akan memfokuskan konsep keseluruhan serta reka bentuk pembangunan berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh BDB Land.
“Di samping itu, bagi memastikan pembangunan itu sejajar dengan matlamat pemuliharaan dan kemampanan alam sekitar, BDB Land akan bekerjasama dengan FRIM Incorporated Sdn. Bhd. bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU tersebut di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, di sini, hari ini.
Jelasnya, usahasama itu diharapkan bakal melonjakkan lagi nama serta memberi nilai tambah baharu kepada Darulaman Sanctuary khasnya dan Langkawi amnya terutamanya melibatkan sektor eko-pelancongan bukan sahaja kepada pelancong
tempatan malah luar negara.
Sementara itu, Enfiniti Escapes yang diwakili oleh Pengerusinya, Puan Sri Tiara Jacquelina menyatakan, pihaknya bakal menawarkan resort dalam khemah atau ‘glamping’ yang belum ditawarkan di sini.
“Kita akan memfokuskan kepada apa yang tiada di Langkawi, dan buat masa ini tiada resort atau hotel yang menawarkan konsep ‘glamping’,” katanya.










