PETALING JAYA: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuka ruang rezeki kepada Candy Crum Sdn. Bhd. apabila membantu produk bertih jagungnya, Candy Crum Popcorn memasuki pasaran pasar raya dan runcit.
Pengarah Urusannya, Norain Khairuddin berkata, perniagaan itu tercetus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 kerana hanya produk makanan sahaja dibenarkan dijual pada masa itu.
Katanya, perniagaan tersebut kini menjadi sumber pendapatan utama, lantas mendorongnya mendapatkan pensijilan halal daripada Jakim.
“Pengiktirafan sijil halal banyak membantu dalam mengembangkan produk bertih jagung di seluruh Malaysia. Sijil halal itu membolehkan produk bertih jagung yang diproses menjadi makanan ringan memasuki pasar raya dan runcit.
“Produk bertih jagung Candy Crum Popcorn ini berjaya dipasarkan di Eco-Shop, Setiahub, Hero Market, Ninso, Lima Sen dan Cheap2Shop,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sijil halal penting dalam memudahkan pengembangan produk dan menyakinkan pelanggan agar tidak ragu-ragu semasa membeli produk Candy Crum Popcorn kerana bahan dan proses telah diiktiraf kebersihanya.
Bekas graduan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka itu menganggarkan kira-kira lima juta bungkus produknya telah terjual sejak bermula operasi pada Januari 2020 sehingga kini.
“Kami keluarkan produk bertih jagung ini dalam pelbagai saiz dan pembungkusan iaitu cawan sebanyak 80 gram, ‘bucket’ (350 gram), botol (0.29 gram) serta paket (500 gram, satu kilogram (kg) dan 10 kg,” ujarnya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Negeri Sembilan itu menambah, sejak awal lagi, dia berhasrat untuk membantu masyarakat setempat melalui perniagaannya.
“Saya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, terutama di sekitar Bahau, Negeri Sembilan seperti anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu tunggal dan suri rumah dengan perniagaan yang saya usahakan ini,” katanya. – UTUSAN











