KOTA BHARU: UMNO Kelantan mahu Perikatan Nasional (PN) bersikap ‘anak jantan’ dengan menunggu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) jika mahu menukar kerajaan dan bukan menggunakan cara songsang iaitu ‘tebuk atap’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Noor Hariri Mohamed Noor berkata, tindakan itu dilihat kepada usaha menyelamatkan kedudukan pemimpin mereka daripada berdepan pertuduhan berkait kesalahan rasuah dan salahlaku masa lalu.
“Nasihat saya kepada puak-puak tersebut hentikanlah tindakan tidak bermoral ini, terimalah hakikat. Negara kita ada peraturan dan perlembagaan.
“Hormatilah mandat rakyat selepas PRU-15 lalu. Tunggulah…kita berentap sebagai anak Jantan pada PRU-16 nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hariri mengakui terkejut dengan dakwaan ada dalam kalangan puak-puak PN sanggup merasuah Yang Di Pertuan Agong sehingga mencecah nilaian RM1 bilion.
Katanya, jika dakwaan itu benar ia disifatkan sebagai tindakan yang tidak bermoral kerana sanggup mengaitkan Tuanku dalam perancangan jijik mereka.
“Tidak malukah mereka menggunakan taktik kotor sebegini lagi? Berapa kali lagi mahu bertukar kerajaan? Tidak cukup lagi kah rakyat diheret dalam krisis politik negara.
“Bagi saya, Tuanku yang penuh bijaksana tidak akan melayan Gerakan dan cubaan puak-puak melampau ini. Buktinya Kerajaan Perpaduan hari ini adalah daripada titah Tuanku,” ujarnya.
Noor Hariri berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah mengesahkan bahawa mereka tidak terlibat dengan gerakan menukar kerajaan walaupun ditawarkan sebagai Perdana Menteri.-UTUSAN











