PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) telah membayar balik yuran pengambilan pekerja migran berjumlah RM72.2 juta kepada 19,673 pekerja.
Pembayaran itu antara langkah penting FGV dalam usaha menangani Perintah Pelepasan Penahanan Amerika Syarikat (AS).
Menurut FGV, pembayaran balik kepada pekerja migran sedia ada itu telah dibuat dalam tiga peringkat pada Mac, Jun dan September 2023.
Jelasnya, FGV telah memperuntukan sejumlah RM112 juta bagi tujuan berkenaan yang telah dibuat oleh semua pekerja migran sedia ada termasuk bekas pekerja migran Syarikat itu.
“Dalam proses pengesahan pembayaran balik kepada pekerja migran, FGV telah melantik syarikat konsultan antarabangsa, LRQA – yang sebelum ini dikenali sebagai ELEVATE, bagi kerja-kerja pengesahan usaha pembayaran balik yang telah dibuat.
“LRQA merupakan sebuah konsultan bebas dalam bidang kelestarian dan rantaian bekalan yang mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja pematuhan sosial dan menangani pertuduhan isu buruh paksa melalui pendekatan mengutamakan pekerja.
“Prosedur pengesahan oleh LRQA yang berjalan antara 30 Oktober dan 24 November 2023 telah menunjukkan bahawa 100 peratus pekerja yang ditemubual telah menerima pembayaran balik yang dibuat oleh FGV. Maklumbalas positif dari kerja-kerja pengesahan oleh LRQA jelas mencerminkan komitmen FGV dalam menjaga kebajikan dan hak pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Menurut FGV, pihaknya turut melaksanakan program pembayaran balik kepada bekas pekerja migran FGV yang layak menerima pampasan bagi yuran pengambilan pekerjaan yang dikenakan oleh pihak ketiga.
“Dengan kerjasama LRQA, FGV sedang bekerja keras menghubungi semula bekas-bekas pekerja migran FGV untuk memaklumkan mengenai program pembayaran balik,” jelasnya.
Tambahnya, penghebahan tentang bayaran balik ini disiarkan secara berkala di media sosial serta akhbar-akhbar tempatan terkemuka di negara asal bekas pekerja migran.
“Usaha-usaha pembayaran balik bekas pekerja migran FGV ini akan dijalankan sehingga penghujung 2024. Sehingga kini, FGV telah membayar pampasan kepada 415 orang bekas perkerja migran dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1.77 juta,” jelasnya. – UTUSAN










