PEKAN: “Saya cuba selamatkan mangsa tapi tidak berjaya kerana dia sudah terlalu lemah untuk melawan arus deras.”
Demikian cerita Wafa Mohd. Salleh, 33, rakan kepada Muhammad Adhwa Haslan, 31, pekerja ladang yang hanyut dibawa arus deras setelah motosikal ditungganginya terbabas ke parit di ladang kelapa sawit YP Pekan Timur di sini kelmarin.

Mayat mangsa yang difahamkan baru sebulan berkahwin itu ditemukan pasukan penyelamat kira-kira 100 meter dari lokasi dia terjatuh kira-kira pukul 10.20 pagi semalam.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Wafa berkata, sebelum kejadian dia mencadangkan agar mereka berdua menggunakan jalan lain sebaik sahaja melihat air yang melimpah di laluan itu dengan kedalaman 0.33 meter.
“Bila sampai di lokasi… kami berhenti dulu dan saya ajak mangsa ke laluan lain tetapi dia enggan.
“Mangsa tetap ingin lalu juga di situ, jadi saya pun ikut tetapi ketika meredah tiba-tiba motosikal ditunggangnya mula menyasar dan terbabas terus masuk ke dalam parit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Wafa berkata, mangsa cuba diselamatkan oleh pengawal keselamatan di ladang yang ada di lokasi kejadian, namun gagal.
“Pada masa kejadian, pengawal keselamatan segera terjun dan cuba untuk selamatkan mangsa tetapi arus yang deras menyukarkan keadaan sehingga dia hampir lemas.
“Saya cuba kejar semula mangsa namun hanya sempat menghulurkan besi dan menarik pengawal keselamatan itu ke tepi tebing, manakala gagal selamatkan mangsa kerana dia sudah tidak ada tenaga berenang melawan arus dan mula hanyut ke tengah,” katanya.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan reaksi isteri mangsa tidak berhasil apabila dia enggan ditemu bual.
Ketua Polis Daerah, Suprintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, kejadian dianggarkan berlaku pada pukul 4.55 petang kelmarin.
Katanya, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di ladang YP Pekan Timur menuju ke rumahnya di Ladang Sungai Bebar Utara bersama rakannya yang merupakan penyelia ladang di situ.- UTUSAN










