Pernahkah anda terfikir bagaimana kita boleh sampai ke pejabat dengan memandu kereta sambil otak sibuk memikirkan pelbagai perkara lain?.
Paling ketara bila kita memandu kereta manual, bagaimana kita pada satu masa boleh serentak menekan pedal klac, menukar gear dan menekan pedal minyak tanpa perlu pun melihat kesemua sistem ini?.
Berbeza bila kita melakukan perkara lain seperti memasak, kita perlu berfikir apa bahan yang perlu dimasukkan dulu atau membuat kerja-kerja di pejabat.
Apabila ke destinasi yang biasa kita lalui atau memandu kereta, secara langsung otak kita sebenarnya sudah diprogram secara pemanduan automatik atau autopilot.
Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA Kampus Sungai. Buloh, Dr. Anayasmin Azmi berkata, bahagian otak dipanggil basal gangglia diaktifkan terutama apabila melalui rutin atau laluan yang sama seharian.
“Sekiranya berlaku perubahan rutin yang sering dilakukan ini, ia berisiko untuk membuatkan kita terlupa untuk melakukan rutin baru itu.
“Sebagai contoh, biasanya bila ke pejabat, kita biasanya terus memandu ke pejabat. Kalau kena berhenti di mana, kita boleh terlupa dan memandu terus ke pejabat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, bukan sesuatu yang mustahil apabila seseorang terlupa menghantar anak kecil ke taska dan tertinggal mereka di dalam kereta sebab ia bukan rutin yang selalu dilakukan.
Bagaimana situasi ‘terlupa’ berlaku
Dr. Anayasmin berkata, terlupa anak di dalam kereta juga dipanggil Forgotten Child Syndrome.
Kajian Sains Saraf (neuroscience), menunjukkan kebolehan otak berfungsi secara autopilot.
Sebagai contoh, seorang bapa rutin hariannya bukan menghantar anak ke taska, namun pada hari berkenaan, memerlukan si bapa menghantar anaknya.
“Apabila anak diletakkan di kerusi keselamatan di belakang, si bapa terus memandu memasuki laluan yang sering dilalui, situasi ini mengaktifkan fungsi autopilot di otak,” katanya.
Si bapa tadi terus memandu ke pejabat seperti biasa. Apabila sampai di pejabat, si bapa keluar dari kereta dan terus masuk bekerja.
Anak yang ditinggalkan di dalam kereta ditinggalkan kerana otak sudah diprogram untuk keluar dari kereta dan berjalan teris ke pejabat.
Tambahan pula tiada ‘peringatan’ untuk membawa si bapa semula ke minda sedarnya seperti bunyi atau pergerakan kerana anak tidur dan berdiam diri saja.
Faktor autopilot aktif
Selain rutin harian yang sudah diprogram ke dalam otak, ada faktor persekitaran lain yang boleh menyebabkan keadaan minda bawah sedar ini berlaku.
Dr. Anayasmin berkata, satu kajian oleh Western Michigan Universiti menambah, faktor stres dan tidak cukup tidur, juga antara faktor menyumbang kepada pengaktifan mod autopilot otak kita.
“Apabila otak terlalu banyak berfikir, seseorang itu akan tidak peka dengan persekitarannya. Ia membuatkan kita tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku kerana kita terperangkap di dalam minda sendiri,” katanya.
Autopilot akan diaktifkan apabila seseorang mengalami trauma, kemurungan, keresahan dan menafikan tekanan yang sedang dialami.
Kematian kanak-kanak disebabkan tertinggal dalam kenderaan selama berjam-jam, adalah satu kejadian yang tragis dan sebenarnya boleh berlaku pada sesiapa sahaja.
Pastinya setiap ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak namun malang tidak berbau.
Isu ini adalah satu topik penting dan kesedaran perlu diwujudkan sebagai peringatan untuk kita lebih berwaspada.
Mengulas mengenai punca kematian kanak-kanak dalam kenderaan, Dr. Anayasmin pecahkan ia kepada tiga kategori iaitu terlupa, sedar dan sengaja.
“Ada yang memang lupa, ada juga yang meninggalkan anak secara sedar dengan melakukan langkah tertentu seperti menurunkan tingkap, meletakkan kenderaan di bawah teduhan pokok tanpa tahu risiko kematian masih boleh berlaku.
“Kategori ketiga, iaitu meninggalkan secara sengaja,” katanya.
Kanak-kanak mudah naik suhu badan
Bagaimana pula heatstroke boleh berlaku sehingga menyebabkan kematian kepada si anak?
Dr. Anayasmin berkata, strok haba adalah situasi di mana suhu badan terlalu tinggi hingga menyebabkan kegagalan fungsi organ tubuh.
“Tubuh kita ada mekanisma untuk beradaptasi dengan suhu persekitaran. American Academy of Paediatric menyatakan suhu kurang 40 darjah celsius, boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ.
“Istimewanya kanak-kanak, mampu menaikkan suhu tubuh tiga hingga lima kali ganda lebih cepat daripada orang dewasa. Pada masa sama, suhu dalam kenderaan tertutup boleh meningkat 20 darjah celsius pada 10 minit pertama.
“Bayangkan walaupun suhu luar masih nyaman sekitar 20 darjah celsius sekalipun, dalam 30 minit sahaja, suhu boleh meningkat mencecah 40 darjah celsius. Purata suhu naik lebih 40 darjah celsius dalam 60minit,” katanya.
‘Tanya, anak dah hantar ke belum?’
Mengubah tabiat adalah cara untuk kita keluar dari mod autopilot. Namun, ia bukan langkah yang mudah kerana otak kita disambungkan untuk terus melakukan tabiat yang sama selama bertahun-tahun.
Bagaimanpun, ia bukan mustahil tetapi perubahan tabiat tidak boleh berlaku dalam sekelip mata.
Anda perlu berusaha dan mungkin perlu mencuba secara berulang-ulang.
Kejadian tertinggal anak dalam kereta sehingga mendatangkan maut adalah ‘malang yang tidak berbau’ kerana ia boleh berlaku tanpa dijangka.
Tambah Dr. Anayasmin, ibubapa perlu mencuba sebaiknya untuk mewujudkan langkah-langkah untuk mengelak kejadian sama berulang.
“Kita sudah bincangkan bagaimana otak berfungsi. Jadi, kita perlu wujudkan sistem amaran supaya otak kita keluar dari autopilot mod dan berada dalam minda sedar yang dikawal oleh hipopocampus dan prefrontal cortex kita.
“Secara peribadi, saya berpendapat, alat penggera mengesan keberadaan anak dalam kenderaan sedikit sebanyak mampu membantu memberi amaran diperlukan,” katanya.
Dr. Anayasmin turut menyarankan ibu bapa untuk mewujudkan penggera untuk memastikan keberadaan anak setiap pukul 8 pagi.
Antaranya langkah lain boleh dilakukan adalah meletakkan anak dalam kerusi keselamatan di tempat duduk hadapan berbanding di tempat duduk belakang.
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) ada mengeluarkan dokumen yang dikongsi di laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai langkah ini dengan syarat fungsi beg angin dimatikan.
Bagi kerusi keselamatan bayi menghadap depan pula disyorkan dilaraskan di posisi paling belakang.
“Sekiranya kerusi keselamatan masih perlu diletakkan di tempat duduk belakang, wujudkan rutin untuk memandang tempat duduk belakang. Beg kita di bahagian belakang kerusi pemandu agar kita perlu membuka pintu belakang untuk ambil beg dan dapat melihat jelas anak.
“Beberapa model kenderaan dengan sistem inovasi mengesan pergerakan anak juga penting. Jika alat mengesan terdapat pergerakan anak dalam kereta, sistem kereta akan membunyikan hon dan lampu berkelip. Ia juga akan menghantar maklumat ke telefon pemandu,” katanya.
Komunikasi antara pengasuh dan ibu bapa juga penting. Sebagai contoh, anak tidak sampai ke taska pada jam 8 pagi seperti selalu, pengasuh perlu segera menghantar mesej atau menelefon ibu atau bapa untuk bertanya.
Kaedah lain disarankan adalah dengan mewujudkan sistem sokongan untuk ibu bapa bekerja antaranya lazimi pertanyaan kepada pasangan, ‘dah hantar anak?’.










