Ngauman ‘beruang’ menggegar Kajang - Utusan Malaysia

Ngauman ‘beruang’ menggegar Kajang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sesungguhnya tiada pengalaman yang lebih indah berbanding mendengar pemilik restoran yang satu ini berbicara sejarah berniaga, sambil berlatarkan ngauman enjin kenderaan melintasi jalan utama bertentangan kedainya pada malam yang diterangi rembulan.
Membuat memori lebih syahdu, sudahlah ceritanya penuh nilai cekal seorang usahawan, sambil bercerita pula sempat dia membalik-balikkan daging yang diasap dalam drum smoke yang ditempah khas.
Persis cef profesional, saat daging dibalikkan segera terbit bau harum semerbak mewangikan ruang makan.
Demikian cebisan memori yang membenih segar dalam ingatan, saat berkunjung di restoran Big Bear Station di Kajang Perdana.

CEKAL DISULAM PENGALAMAN
Pemilik restoran, Mohamad Zaidi Yatim, 41, memberitahu, jenama Big Bear mula bercambah seawal Januari 2019.
“Pada waktu itu, kami berniaga di warung tepi jalan di Taman Jasmin. Memperkenalkan menu premium di tepi jalan, itu satu cabaran.
“Demi memastikan jenama Big Bear dapat menyentuh sanubari dan mencengkam selera pelanggan, maka kami sentiasa pastikan kualiti tak dikompromi,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Kemudian katanya, berkat sokongan pelanggan, akhirnya dia mampu menyewa sebuah ruang kedai di Kajang Perdana. Dari situlah, cabaran baharu mula menerjah.
“Bertarikh 16 September, sempena Hari Malaysia, saya membuka kedai di Kajang Perdana. Simbolik kepada penubuhan Persekutuan Malaysia, kami mengemudi bahtera perniagaan dengan menawarkan beberapa menu tambahan yang diperkemas dan dinaik taraf,” katanya.
Kemudian, dia berkata cabaran mula menerjah apabila hanya beberapa hari selepas dibuka, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua dikuatkuasa pada 23 September, 2019. Menyedari senario yang mencabar itu, Mohamad Zaidi dan krew di restoran menggembleng kudrat demi memastikan bisnes dapat bertahan.
“Alhamdulillah, selepas ‘bertarung’ dengan impak PKP, dan meski dibadai ketidaktentuan akibat pandemik, syukur kami mampu bertahan malah berjaya menarik perhatian pelanggan baharu pula yang tak putus-putus memesan hidangan di sini,” katanya.

RUSTIK DAN HIPSTER
Menikmati hidangan di sini, ternyata satu pengalaman berbaloi. Menurutnya, restoran itu menawarkan lebih 30 menu premium dengan harga yang sangat berpatutan, maka tak menghairankan apabila saat kunjungan, kelihatan tak putus-putus pelanggan membanjiri.
Kebijaksanaan beliau ialah kaedah promosi yang ‘cool’.
Bayangkan, di bahagian depan kedai, diletakkan satu mesin pemanggang atau drum smoke warna hitam. Di dalamnya pula, bersusun-susun kepingan hidangan berprotein sedang diasap, menanti untuk dibaham!
Saat dia membuka penutup drum smoke itu, nah, habis satu Kajang Perdana ‘sesak nafas’ dek keharuman produk-produk yang diasap.
Menurutnya, kaedah mengasap menghasilkan daging dan protein yang lebih empuk, berjus dan wangi berbanding panggang.

SIRLOIN YANG BIKIN KETAGIH
Saat membawa berpinggan hidangan ke atas meja, terpamer juadah enak yang menanti untuk dijamah. Kemeriahan hidangan yang dijamu jelas membuktikan kesediaannya meraikan kunjungan krew kami.
Ujarnya, menu paling mendapat permintaan adalah stik sirloin di sini. Baunya usahlah ditanya. Ia sangat semerbak, wangi dengan haruman rempah yang disulami bauan asap yang kompleks dan menggiurkan.
Menjamah ketulan daging ini, ibarat makan di steakhouse kelas tinggi. Bayangkan, ia sangat berjus dan harum dengan bauan asap yang wangi dan menyelerakan.

NGAUMAN SANG BERUANG
Beralih pula ke pinggan lain. Menu yang satu ini dinamakan Nasi Lemak Beruang Meraung.
“Kenapa beruang meraung? Sebab sambal yang bisa membuat pelanggan meraung ketagihan. Kami dedikasikan kudrat untuk menyempurnakan hidangan nasi lemak ini, khususnya sambal. Ia dimasak selama lima jam,” jelasnya.
Kesungguhan itu ternyata berhasil, apabila sambal yang disuap cukup ‘masak’. Membuatkan menu ini menduduki carta teratas, ia turut didatangkan dengan kepingan ayam panggang, maka setiap suapan ibarat satu pelukan yang sarat keenakan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×