Kesengsaraan penduduk Palestine ketika ini, membuatkan saya sering teringat kejadian pada hari Jumaat ketika memasuki Kompleks al Aqsa untuk subuh sekitar September 2022.
Subuh hari Jumaat di sini cukup luarbiasa dan meriah. Selawat tarhim sayu kedengaran ke segenap sudut kota lama dan masjid. Penduduk tempatan keluar beramai-ramai ke masjid untuk bersolat walaupun dalam cuaca dingin.
Polis Israel memang cukup takut bila tiba hari Jumaat. Mereka akan tingkatkan kawalan di pintu masuk. Malah mereka kenakan syarat orang muda bawah 40 tahun tidak dibenarkan masuk ke kompleks itu. Tapi orang Palestine memang cukup berani tidak kira usia muda atau tua. Mereka sedikitpun tidak gentar dengan polis atau tentera yang bersenjata.
Saya melihat sendiri satu kumpulan remaja berusia belasan tahun yang mahu ke masjid, bertekak dengan polis di pintu kawalan. Saya beratur di belakang kumpulan remaja itu sudah mula terasa takut. Suasana agak tegang ketika itu menyebabkan saya terus dibawa masuk oleh pemandu pelancong Kembara Salam dan pemandu pelancong tempatan, Mahmud.

Perkarangan Kompleks al Aqsa terang benderang disimbahi sinar lampu sorot. Beberapa tempat ada saja penduduk tempatan menuangkan kopi dan sedekah kurma kepada orang ramai. Kopi yang terasa pahit itu, amat menyegarkan. Saya terus ke ruang solat muslimat. Syukur masih ada tempat untuk saya menyelit di tengah-tengah orang ramai yang sudah duduk menanti masuk waktu subuh.
Solat subuh Jumaat dimulai dengan sujud sajadah. Hiba terasa saat dahi dan wajah menyentuh lantai masjid agung ini. Tidak pernah terlintas di minda berpeluang menjejakkan kaki ke sini. Semuanya atas kehendakNya.
Tiba dari Amman, Jordan
Saya dan 31 ahli rombongan Kembara Salam masuk ke Jerusalem melalui King Hussein Bridge atau dikenali sebagai Allenby Bridge sehari sebelum itu. Proses di imigresen berjalan lancar walaupun agak cuak dengan kerenah pegawainya yang bersikap acuh tidak acuh melayan kami.
Ketibaan kami di sambut Pemandu Pelancong Jerusalem, Mahmud yang terus meminta kami menaiki bas yang sudah sedia menunggu. Kami terus Jericho, terletak sembilan kilometer (km) dari Allenby.
Cuaca agak panas kerana kedudukan muka bumi Jericho sememangnya rendah. Ada yang masuk ke kedai untuk membeli kurma Medjool yang besar-besar dan manis itu.
‘Itu Mount of Temptation, tempat Nabi Isa tinggal selama. 40 hari, 40 malam melawan godaan syaitan,” katanya.
Al Aqsa dari Mount of Olive
Mount of Olive puncak tertinggi di Jerusalem. Ada pelantar tinjau untuk pengunjung bergambar berlatar belakangkan Masjid al Aqsa dan Dome of The Rock. Udara sejuk menerpa wajah sebaik kami turun dari bas.

Sebak sebaik pertama kali menatap binaan agung Masjid al Aqsa yang berkubah biru gelap dan kubah Dome of The Rock kuning keemasan yang juga dikenali sebagai As Sakhrah.
Rupa-rupanya, masjid al Aqsa dan Dome of The Rock terletak dalam sebuah kompleks dipanggil Kompleks al-Aqsa atau Al Haram, Al Sharif Al Quds dengan keluasan 35 ekar.
Kompleks ini terletak di atas kawasan lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya terutama Dome of The Rock. Tembok batu pasir berbentuk kubu atau kota lama mengelilingi kompleks berkenaan dengan ketinggian lima hingga enam meter.
Kubu itu dibina semula pada zaman Sultan Sulaiman The Magnificent dari empayar Turki Uthamniyah selepas menakluk Jerusalem pada tahun 1517 daripada pemerintahan Mamluk.
Melewati kota lama
Jam 3.00 petang, kami berjalan beramai-ramai ke Herods Gate. Bayu sejuk membelai wajah.
Herods Gate berbentuk melengkung. Di bahagian Timur Laut adalah penempatan atau kuarters orang Islam. Selain Herods, ada tujuh pintu masuk dari arah lain ke kota lama ini iaitu Damascus, Jaffa, Lion, Golden, Zion dan Dung Gate. Di dalam kota lama ini juga turut diduduki oleh orang Kristian.
Susasana dalam kota lama agak sibuk seperti berada dalam pekan kecil lain. Ada rumah-rumah yang didiami penduduk. Lorong-lorong kecil dan sempit membawa ke rumah kediaman penduduk.
Di sepanjang jalan terdapat gerai-gerai menjual buah terutama jus delima dan makanan tempatan seperti falafel.
Tiba di hujung simpang, kami membelok ke arah Lion Gate. Jantung mula berdebar sebaik melihat beberapa polis Israel lengkap bersenjata berkawal di sebuah pintu di sebelah kanan.
“Dari mana?,”. Tanya mereka sambil menyuluh beg yang di bawa.
Selepas memeriksa beg, kami dibenarkan masuk.
Dari jauh sudah kelihatan kubah keemasan Dome of The Rock di sebalik tiang-tiang pintu gerbang batu.
Kami berjalan menaiki anak-anak tangga di pintu gerbang itu yang membawa kami ke dataran Dome of the Rock yang luas. Pintu kubah As Sakhrah itu terbuka luas. Boleh nampak lampu candelier kekuningan di dalam masjid.
Kami melewati kubah As Sakhrah sehingga ke satu lagi tiang gerbang kemudian turun anak tangga yang curam. Dari situ boleh nampak kubah Masjid Al Aqsa atau Qibli berwarna biru kehitaman.
Mendekati masjid, saya lihat dindingnya berlubang-lubang. Mungkin kesan tembakan ketika berlaku perang.
Keindahan senibina di dalam masjid ini memukau mata. Permaidani merah terbentang dari pintu sehingga ke mimbar. Tiang-tiangnya dihiasi mozek dan alang daripada kayu diukir corak kerawang.
Masjid Ibrahim di Hebron
Di Hebron, pemeriksaan tidak begitu ketat walaupun perlu melalui pagar besi.
Laluan masuk ke masjid perlu mendaki anak-anak tangga. Di pintu masuk terdapat makam Sarah isteri kepada Nabi Ibrahim As. Di dalam masjid pula ada dua makam di kiri kanan milik Nabi Ishak As dan isterinya, Ribkah di sebelah kiri.
Makam Nabi Ibrahim pula di dalam sebuah bilik tetapi hanya dapat dilihat separuh saja kerana separuh lagi di sebelah ruang ibadat Israel. Ini kerana masjid ini dikongsi bersama Israel dan ada hari-hari tertentu saja orang Islam dibenarkan masuk.
Di depan bilik ada mimbar kecil bertiang empat. Di situ terdapat lubang kecil untuk melihat gua di bawah masjid yang dipercayai menempatkan jasad sebenar Nabi Ibrahim dan keluarganya.
Batu tergantung, mihrab Maryam
Selepas menikmati hidangan istimewa Nasi Maqluba, nasi beriyani kambing, kami ke Kompleks Al Aqsa.
Kami melawat ke lima masjid selain Dome of The Rock dan Al Aqsa di kompleks ini iaitu masjid Al Aqsa lama (di bawah masjid Al Aqsa/Qibli), Masjid Marwani (bawah tanah) dan Masjid Buraq.
Di dalam Dome of The Rock terdapatnya batu tergantung yang dikatakan mahu mengikut Nabi Muhammad SAW naik ke langit pada peristiwa Israk Mikraj.
Batu ini terletak di tengah masjid yang berbentuk bulat. Batu itu sangat besar sehingga memenuhi ruang masjid. Sekeliling batu dipagar setinggi paras kepala. Kalau nak tengok kena panjat kerusi.
Kalau nak tengok batu itu tergantung atau tidak, kena turun ke bawah gua di dalam masjid itu. Kita boleh nampak terdapat jarak kecil antara batu itu dengan batu di bawahnya.
Di bawah masjid Al Aqsa ada Masjid Al Aqsa lama. Di sini ada tiang yang amat tinggi dan besar dipercayai bekas istana Nabi Sulaiman yang dibina oleh jin.
Di sebelah kiri Masjid Al Aqsa terdapat satu lagi masjid bawah tanah iaitu Masjid Marwani yang cukup luas. Di sini terletak mihrab Maryam.
Kawasan bawah tanah ini juga adalah bekas tempat menyimpan kuda semasa pemerintahan Salahudin Al Ayubi. Kita boleh lihat besi menambat kuda di tiang-tiang masjid ini.
Sayangnya kami tidak dapat masuk ke Masjid Buraq yang terletak di tembok sebelah barat kerana ia ditutup. Masjid ini kecil saja dan terletak di sebelah tembok ratapan Yahudi.
Kami sempat masuk ke pintu sebelah barat untuk melihat tembok ratapan berkenaan tetapi hanya memandangnya dari jauh saja. Ada yang berdiri dan terangguk-angguk di depan tembok yang tinggi itu. Sebelum masuk waktu maghrib, kami segera kembali ke masjid dan pulang ke hotel.
Terasa sedih kerana keesokan paginya kami akan meninggalkan Jerusalem dan entah bila lagi boleh bersolat di sini.









