PETALING JAYA: Langkah Perikatan Nasional (PN) yang mencatur ‘Langkah Dubai’ untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan adalah tindakan terdesak bagi menutup kelemahan gabungan itu selepas kehilangan sokongan lima ahli Parlimen kepada Perdana Menteri.
Selain itu, permainan nombor ‘dicanang’ PN hanyalah untuk menggambarkan kepada rakyat bahawa gabungan itu kuat dan mempunyai sokongan untuk menggulingkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, PN sebagai pembangkang tidak melaksanakan tugas hakiki mereka untuk semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang lebih setahun pentadbiran Perdana Menteri.
Sebaliknya, menurut beliau, tugas hakiki PN kini berubah menjadi pencatur langkah politik seperti ‘Langkah Dubai’ atau ‘Langkah Chow Kit’ demi menggambarkan mereka mampu mencabar Kerajaan Persekutuan.
“Itulah yang dikatakan PN sebagai pembangkang boleh buat (mencatur langkah politik) bukannya semak dan imbang. Mereka cuba menggambarkan persepsi bahawa mereka cukup sokongan sedangkan sokongan itu tidak ada.
PERSEPSI
“Bagi menutup kelemahan itu, mereka cipta berbagai-bagai persepsi seperti ‘Langkah Dubai’, ‘Langkah Chow Kit’ untuk memberi gambaran mereka kuat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang memberi bayangan bahawa usaha mengambil alih kerajaan secara demokrasi tidak pernah dihentikan oleh pembangkang.
Mengulas lanjut, Azmi berata, tindakan PN yang masih berusaha itu menyedihkan kerana mengenepikan tanggungjawab pembangkang selama lebih setahun untuk menggerakan langkah bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Besar kemungkinan perkara sama akan terus berlaku untuk dua ke tiga tahun akan datang kerana itulah tugas hakiki PN hanya untuk memberi persepsi mereka kuat dan Kerajaan Persekutuan akan tumbang pada bila-bila masa.
“Hakikat itu terpaksa diterima oleh rakyat kerana Kerajaan Persekutuan terpaksa memberikan sedikit perhatian dalam hal ini supaya tidak menjadi kecoh pada masa sama tumpuan untuk mentadbir negara seperti diharapkan tidak tercapai,” katanya.
Pada masa sama, beliau berpendapat bahawa PN yang kini masih memiliki 74 ahli parlimen masih cukup kuat untuk melaksanakan tugas mereka sebagai semak dan imbang dengan efektif kepada kerajaan semasa. – UTUSAN











