PETALING JAYA: Sebarang cubaan untuk menggulingkan kerajaan dengan merancang langkah tertentu hanya akan mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap sistem pilihan raya walaupun perbuatan itu tidak menyalahi Perlembagaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Faisal Abdul Aziz berkata, rakyat setakat ini masih mempercayai sistem demokrasi negara walaupun menyaksikan percaturan politik oleh ahli-ahli parlimen sebelum ini seperti ‘Langkah Sheraton.’
Menurut beliau, percaturan politik dengan merangka langkah tertentu seperti ‘Langkah Dubai’ dan lain-lain mencetuskan kebimbangan bahawa sistem pilihan raya yang diamalkan negara sejak merdeka sudah tidak lagi dipercayai.
“Tindakan membelakangkan pilihan rakyat menunjukkan seolah-olah undi mereka tidak berguna. Kita khuatir masyarakat sudah hilang kepercayaan terhadap sistem demokrasi sedangkan mereka memilih kerajaan secara sah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, sudah tiba masanya kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang melakukan ‘gencatan senjata’ politik demi kepentingan rakyat dan duduk berbincang menentukan hala tuju negara.
“Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah lepas, jadi kita minta dua-dua pihak hentikanlah berpolitik dan utamakan kepentingan rakyat.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pembangkang duduk semeja secara harmoni berbincang bagaimana untuk menambah baik contohnya sistem pilihan raya negara atau persempadanan semula dan sebagainya,” katanya.
EKONOMI
Kata beliau, rakyat mahu melihat kestabilan politik yang secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Pada masa ini, pembangkang harus memainkan peranannya dengan berkesan untuk semak dan imbang dasar diperkenalkan kerajaan tak kira daripada aspek ekonomi, kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan bahawa Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi bayangan usaha mengambil alih kerajaan secara demokrasi tidak pernah dihentikan oleh pembangkang.
Beliau mendakwa, selagi mana usaha itu tidak membelakangkan Perlembagaan, proses tersebut tidak ada halangan untuk dilakukan tambahan pula dengan kelompongan yang ada pada Akta Anti Lompat Parti.
Malah Menteri Besar Kedah itu turut mengesahkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui wujud tentang rancangan yang dipanggil ‘Langkah Dubai’ itu.
“Saya rasa proses yang dibenarkan oleh undang-undang boleh dijalani kecuali yang tidak berperlembagaan, itu tak bolehlah. Tetapi yang selari dengan Perlembagaan untuk menyatakan sokongan kepada siapa boleh.
“Lima orang (Ahli Parlimen PN) sokong (kerajaan) itu tak ada masalah, tak ada siapa rungut. Digambarkan sebagai tindakan yang berperlembagaan berdasarkan demokrasi (maka) tindakan sebaliknya pun biasa saja.
“Kalau dia boleh ambil lima, kita boleh ambil 10, tak kan nak marah. Kalau sokong dia tak apa, kalau tak sokong dia takkan tak boleh. Tentulah boleh juga, itu proses biasa dibenarkan Perlembagaan,” katanya.- UTUSAN











