KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam tindakan kerajaan yang mengambil mudah dan tidak mengambil tindakan serius berhubung kenyataan pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham yang menyentuh sensitiviti orang Islam.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serta UMNO juga perlu mempunyai pendirian tegas supaya perkara sebegini tidak berulang.
“Jika pemimpin atau aktivis Bersatu bercakap mengenai hak orang Islam dan Melayu, maka pelbagai agensi dikerah mengambil pelbagai tindakan segera. Tetapi apabila DAP, mohon maaf sambil lewa melalui Facebook sahaja nampaknya sudah cukup.
“Bersatu Bangi menuntut para pemimpin UMNO berhenti menjadi ‘apologist’ dan jurukempen DAP dalam kalangan orang Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Bangi turut mendakwa tindakan DAP itu sengaja dilakukan, malah menyifatkan ia sebagai taktik lama yang sering dilakukan bagi parti itu untuk mengancam perpaduan negara.
Koo Ham sebelum ini dilapor membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.
Susulan cadangan tersebut, Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.
Koo Ham tampil membuat permohonan maaf di atas kesilapannya yang mengeluarkan cadangan tanpa usul periksa terlebih dahulu. – UTUSAN











