SIAPA yang tidak kenal nama Leftenan Adnan Saidi? Satu nama yang saya kenali sejak kecil. Apatah lagi salah satu novel Komponen Sastera (Komsas), “Leftenan Adnan: Wira Bangsa” tulisan Abdul Latip Talib di sekolah memberi kesan begitu mendalam kepada saya dalam mengenal erti perjuangan.
Novel tersebut menceritakan kisah keberanian dan semangat kebangsaan kental Adnan, iaitu salah seorang anggota Rejimen Melayu. Bapa borek, anak rintik. Sifat kepahlawanan dalam diri Adnan bukan baharu.
Dia dilahirkan daripada keturunan Datuk Siamang Gagap, iaitu seorang panglima yang memimpin angkatan perang Seri Menanti bertempur di Bukit Putus, Negeri Sembilan.
PUTIH TULANG
Adiknya, Ahmad juga seorang tentera terkorban selepas kapal HMS Pelanduk ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia pada 1941. Seorang lagi adiknya, Amirullah turut berjuang dalam Rejimen Melayu.
Biar putih tulang, jangan putih mata. Itulah moto diangkat Adnan yang memperlihatkan semangat juang tinggi dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
Ketika peperangan sengit di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura pada 1942 iaitu benteng terakhir British di Tanah Melayu, Adnan memimpin platunnya bertempur habis-habisan menentang tentera Jepun yang jauh lebih ramai daripada jumlah bilangan askar Melayu.
Semangat juang mereka begitu tinggi sehinggakan setelah kehabisan peluru, mereka tetap berjuang hanya dengan bayonet di tangan. Walaupun cedera parah, Adnan tetap enggan berundur sebaliknya mengarahkan anggota platunnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Adnan akhirnya gugur. Beliau dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun kerana keberanian dan kecekalannya hingga berjaya membunuh ramai tentera Jepun.
Terlalu banyak pengajaran yang dapat kita pelajari daripada novel ini khususnya dalam memupuk semangat patriotisme serta perasaan cintakan negara. Alangkah ruginya jika kita mendalami novel ini sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan Bahasa Malaysia tanpa mengambil peluang menghayati semangat perjuangan seorang wira bangsa yang sanggup berkorban apa sahaja demi negara.
PATRIOTISME
Malang sekali apabila semangat patriotisme semakin lama kian terhakis dalam jiwa remaja kita. Sehinggakan mereka lebih berminat mengenali kehidupan artis K-Pop daripada sejarah perjuangan tokoh-tokoh pahlawan negara. Akibatnya kita tidak lagi rasa bangga dengan sejarah negara sendiri dan tidak lagi tahu apakah ertinya kedaulatan negara.
Di manakah kita sekarang tanpa pengorbanan mereka yang terdahulu? Pernahkah kita bertanya, apakah yang dapat kita sumbang kepada negara? Bagaimanakah nasib anak bangsa kita nanti jika telah hilang semangat kenegaraan dalam jiwa anak watan?
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).











